AM > BERITA

FAMA SASAR RM2 JUTA NILAI JUALAN KARNIVAL AGRO MADANI 2024

28/06/2024 07:08 PM

JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan RM2 juta nilai jualan bagi penganjuran Karnival Agro Madani 2024 yang menjelajah enam negeri bermula 30 Mei hingga 27 Julai ini.

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata setakat ini, karnival itu telah diadakan di Pasar Tani Kekal (PTK) Sebarang Jaya, Pulau Pinang; PTK Chini, Pahang; PTK Chukai, Terengganu dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan dengan tempoh penganjuran selama tiga hari bagi setiap lokasi. 

Beliau berkata karnival berkenaan di PTK Datin Halimah di sini pula bermula hari ini, manakala lokasi terakhir iaitu di PTK Changlun Kedah pada 25 Julai depan.

“Sambutan setakat ini kalau kita nilai, pertama sekali kita tengok (kebanyakan) pengunjung berbaris untuk membeli Jualan Kombo Madani dan berdasarkan itu ia telah menggambarkan sambutan luar biasa.

“Kita lihat pengusaha turut bekerjasama dan sanggup menurunkan harga barang, meski kita tidak mengeluarkan subsidi. Oleh sebab itu kita boleh meneruskan program seumpama ini dengan tarikan-tarikan yang membantu meningkatkan kehadiran pengunjung,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agro Madani @ PTK Datin Halimah hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Faisal Iswardi Ismail dan Pengarah FAMA Negeri Johor Faidz Afizi Mohamed.

Aminuddin berkata karnival itu dijangka mampu menarik lebih 200,000 pengunjung dengan penyertaan seramai 689 usahawan.

Menurutnya, pelbagai barang jualan ditawarkan menerusi karnival itu antaranya produk segar dan keperluan harian dengan tawaran potongan harga antara 10 hingga 30 peratus.

Aminuddin dalam pada itu berkata penganjuran tersebut dilihat dapat meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bekalan produk segar dan produk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk pada harga mampu milik di outlet pemasaran FAMA seperti di PTK.

Terdahulu, Karnival Agro Madani@PTK Datin Halimah yang akan berakhir pada Ahad, menawarkan pelbagai jualan menarik antaranya Jualan Happy Hour Kombo Madani, jualan istimewa ayam dan hasil laut seperti RM6.99 bagi sekilogram (kg) ayam, ikan siakap RM2 seekor dan jualan beras putih tempatan.

 Pelbagai tarikan seperti makanan popular, industri asas tani usahawan tempatan, sayur-sayuran segar dan buah-buahan bermusim terutama durian turut diadakan.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti Pertandingan Best of The Best Mee Bandung Johor, sukan rakyat dan demonstrasi kulinari produk ternakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan