AM > BERITA

SKIM TAKAFUL TANAMAN PADI SEDANG DIPERHALUSI BANK NEGARA - MOHAMAD

27/06/2024 04:37 PM

ALOR SETAR, 27 Jun (Bernama) -- Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sedang diperhalusi di peringkat Bank Negara menerusi Bank Pertanian Malaysia (Agro Bank), sebelum pelaksanaannya diperkenalkan kepada petani tidak lama lagi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata skim tersebut, dapat mengurangkan beban kerugian yang ditanggung golongan petani akibat bencana alam, terutama dalam keadaan perubahan iklim yang tidak menentu pada masa kini.

“Kita berharap semua petani dapat diinsuranskan menerusi skim ini nanti...Sebelum ini melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP), proses pampasan mengambil masa yang lama, bencana tahun lepas, tahun ni baru dapat sebab proses semuanya dibuat secara manual.

“Proses pampasan menerusi STTP pula akan lebih cepat, kerana semuanya telah ada dalam sistem. Caruman yang akan dikenakan nanti tidaklah besar, tapi para petani akan lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan TBTP kepada peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terkesan dan merasmikan program MADA Day 2024 di Ibu Pejabat MADA di sini, hari ini.

Mohamad berkata lagi lagi STTP merupakan skim yang lebih komprehensif bagi menggantikan TBTP, yang akan memperuntukkan jumlah pampasan lebih tinggi iaitu sehingga RM3,000 bagi setiap hektar semusim, berbanding maksimum RM1,800 bagi setiap hektar semusim.

Beliau berkata skim tersebut, dijangka akan dapat dimanfaatkan oleh seluruh pesawah MADA pada Musim 2/2024, selepas ia dilancarkan pada September ini bersempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Sementara itu, Mohamad turut menyeru kepada seluruh peladang di Kawasan Muda agar mematuhi Jadual Penanaman Padi Musim 1/2024, bagi mengelakkan berlakunya pembaziran air.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan