AM > BERITA

PEMAHAMAN TENTANG GARIS PANDUAN KOMUNITI PLATFORM MEDIA SOSIAL HARUS DIPERTINGKAT - TIKTOK

28/06/2024 02:24 PM

PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Pemahaman tentang Garis Panduan Komuniti platform media sosial perlu ditingkatkan agar kandungan tidak dialih keluar, kata Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Anuar Fariz Fadzil.

Beliau berkata pelanggaran kepada Garis Panduan Komuniti akan menyebabkan kandungan yang melanggar garis panduan itu akan dialih keluar atau dihadkan kelayakan selepas ditapis kecerdasan buatan (AI).

"Contoh (kandungan) mengenai dadah, pornografi atau (perkara) yang mengundang mudarat. TikTok telus dengan Garis Panduan Komuniti dan kandungan akan diturunkan jika melanggar garis panduan atau laporan tentang kandungan bertentangan dengan garis panduan serta undang-undang negara," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas sesi From Rules to Reels: Compliance and Engagement on TikTok for Government Agencies di Seminar Media Sosial untuk Kementerian dan Agensi Kerajaan 2024 (SOCIALGOV), di sini.

Anuar berkata banyak masalah timbul memandangkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai Garis Panduan Komuniti platform media sosial masih rendah.

"Masalah terbesar ialah kesedaran mengenai Garis Panduan Komuniti. Masalah timbul mungkin dengan tidak sengaja melanggar garis panduan itu. Contohnya, pada sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, (kandungan) ada darah dan pisau membuatkan AI fikir ada masalah. Tapi setelah memahami maksud itu, kandungan diteruskan," katanya.

Justeru, Anuar menjelaskan, TikTok bersedia untuk mengadakan libat urus dengan kementerian dan agensi untuk tujuan tersebut.

Seminar yang julung kalinya dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dihadiri seramai 260 peserta bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan media sosial serta mengoptimumkan kandungan dan maklumat kerajaan agar media sosial rasmi kerajaan lebih telus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan