AM > BERITA

KERAJAAN NEGERI SEDIA BANTU URUS JENAZAH ‘HAFIZ’

27/06/2024 05:55 PM

BATU PAHAT, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor sedia membantu dalam pengurusan jenazah remaja yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lepas sekiranya rangka yang ditemui di kebun durian di Jalan Yong Peng-Muar Isnin lalu disahkan miliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata urusan berkenaan termasuklah proses memandikan sehinggalah proses pengebumiannya.

Beliau berkata walaupun yang ditemui baru-baru ini hanyalah rangka, yang kini berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk proses ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA), namun pengurusannya sama seperti jenazah umat Islam lain.

“Sekiranya rangka berkenaan disahkan milik Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, selain urusan pengurusan jenazah, pihak kerajaan negeri juga bersedia membantu dalam keperluan lain, termasuklah insurans memandangkan remaja berkenaan masih bergelar pelajar.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan takziah dan berharap bapa remaja terbabit Abd Halid Sugiman, 44 serta keluarga agar terus tabah dengan ujian yang dihadapi mereka,” katanya kepada pemberita semasa melawat rumah remaja itu di Bandar Putera Indah, di sini hari ini.

Jelas Mohd Fared, berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh Abd Halid, dokumen pengenalan diri dan barang-barang yang ditemui bersama rangka tersebut termasuklah pakaian serta motosikal, adalah milik anak ketiganya daripada tujuh beradik.

Dalam pada itu, Abd Halid memaklumkan, penantian selama sebulan terhadap kehilangan anaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja hampir terjawab setelah penemuan rangka tersebut.

“Naluri saya kuat menyatakan ia (rangka) milik Hafiz, saya mula lega…walaupun hanya rangka yang ditemui sekurang-kurangnya ada juga kuburnya nanti, saya turut berasa bangga kerana dipinjamkan Allah seorang anak yang baik selama ini,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Unit Amal Van Jenazah Muafakat Daerah Batu Pahat, Wahyu Hidayat Jaapar berkata pihaknya turut bersedia untuk menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma.

“Sekiranya disahkan ujian DNA terhadap rangka nanti adalah milik remaja itu, kita sedia untuk membawanya daripada Johor Bahru ke Batu Pahat tanpa sebarang bayaran, bertujuan meringankan beban keluarga ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan