POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP: PH YAKIN AHLI UMNO UNDI CALON KERAJAAN PERPADUAN

30/06/2024 11:36 AM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) yakin ahli UMNO akan mengundi calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin pada 6 Julai ini.

Pengarah Pilihan Raya PH bagi PRK itu Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata berdasarkan culaan dan respons positif yang diterima ketika berkempen, pihaknya percaya undi ahli UMNO-Barisan Nasional (BN) akan kembali berpihak kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kita telah melakukan gerak kerja bersama jentera UMNO-BN di lapan pusat daerah mengundi (PDM) dan respons diterima amat positif sekali gus memberikan kelebihan bahawa dari segi pengundinya, mereka (UMNO-BN) kembali kepada Perpaduan (PH).

“Berdasarkan perkembangan itu, insya-Allah kita nampak kita akan beroleh kejayaan pada 6 Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Iltizam Dr Joohari di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat di sini malam tadi.

Dengan tempoh kempen berbaki seminggu lagi, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang berkata jentera Perpaduan akan terus mempergiatkan gerak kerja kempen dalam misi memenangkan calon PH seterusnya merampas kembali kerusi Sungai Bakap daripada Perikatan Nasional (PN).

Baru-baru ini, calon PN Abidin Ismail mendakwa pengundi dalam kalangan ahli UMNO akan mengekalkan gelombang peralihan undi kepada parti itu pada PRK DUN Sungai Bakap.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu mendakwa pergerakan gelombang itu dapat dilihat selain ada yang memberi keyakinan bahawa mereka masih menyokong PN.

Joohari dan Abidin bersaing dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan