AM > BERITA

EWON BENEDICK DIMASYHUR CANSELOR PERTAMA UKKM

27/06/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor pertama Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Menurut kenyataan UKKM, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Suriani Ahmad dan Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut dimasyhurkan sebagai Pro Canselor universiti berkenaan dalam majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Ewon berkata UKKM ditubuhkan pada 2022 bagi mengisi jurang kekurangan tenaga mahir dan berpendidikan tinggi dalam sektor koperasi yang memainkan peranan amat penting dalam pembangunan ekonomi negara. 

"Dengan wujudnya universiti ini, kita dapat menyediakan platform untuk melahirkan usahawan dan pengurus koperasi yang berkaliber tinggi, kompeten dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. 

Ewon berkata UKKM menyediakan kurikulum yang komprehensif dan relevan serta seiring dengan keperluan industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan mampu membawa perubahan positif dan signifikan terhadap gerakan koperasi di Malaysia.

Menurut Ewon, pengajian di UKKM turut melibatkan pembelajaran dan pengalaman praktikal kepada para pelajar dengan sesi latihan industri di koperasi terpilih pada semester akhir. 

"Ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran mereka tetapi juga memastikan mereka bersiap sedia untuk berada di lapangan dan menghadapi cabaran dalam industri koperasi," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan semua agensi di bawah KUSKOP terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan koperasi premier seperti Bank Rakyat dan Co-opbank Pertama serta koperasi dalam kelompok 100 terbaik untuk memberi sokongan kepada UKKM dari segi pelaburan, penajaan pembiayaan pembelajaran dan penempatan latihan industri.

Ewon turut mengumumkan beberapa inisiatif penting yang dilaksanakan UKKM, antaranya penglibatan universiti itu dalam projek rintis Program Menoktahkan Kemiskinan di Sabah dengan menerima 20 pelajar bagi setiap ambilan untuk program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bermula Julai tahun ini. 

Pada majlis itu, UKKM turut menyampaikan penajaan kepada pelajar dari Palestin untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dan mereka juga merupakan ambilan pertama pelajar antarabangsa di universiti tersebut. 

Surat tawaran pengajian tersebut diserahkan oleh Ewon kepada Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali sebagai simbolik. 

Turut diadakan adalah simbolik pelancaran program PhD dan Programe for Executive (P4E) yang akan bermula Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan