AM > BERITA

EMPAT SPESIES KELIP-KELIP DIANCAM KEPUPUSAN - PAKAR

27/06/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kumpulan Pakar Kelip-Kelip Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) mengenal pasti empat spesies kelip-kelip berkumpulan yang sedang diancam kepupusan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kumpulan pakar itu mengenal pasti perkara tersebut selepas membuat penilaian status empat spesies kelip-kelip berkumpulan dengan menggunakan kriteria Senarai Merah IUCN.

Menurut kenyataan itu kelip-kelip Comtesse (Pteroptyx bearni), kelip-kelip sayap bengkok serentak (Pteroptyx malaccae), kelip-kelip serentak sempurna (Pteroptyx tener) dan kelip-kelip sayap bengkok tidak serentak (Pteroptyx valida) kesemuanya disifatkan berstatus ‘rentan’. 

Kenyataan itu memaklumkan Asia Tenggara merupakan kawasan yang paling sempurna bagi menyaksikan kelipan cahaya daripada kelip-kelip terutama daripada genus Pteroptyx, yang secara umumnya dikenali sebagai kelip-kelip berkumpulan.

“Suatu ketika dahulu serangga ini begitu banyak ditemui di hutan bakau di Asia Tenggara, namun spesies itu kini berdepan risiko kepupusan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Monash University Malaysia, Kumpulan Pakar Kelip-Kelip Suruhanjaya Kemandirian Spesies (SSC) IUCN dan Pusat Kemandirian Spesies Global.

Menurut kenyataan itu antara ancaman utama terhadap kelip-kelip berkumpulan di Asia Tenggara ialah kehilangan dan kemerosotan habitatnya selain pencemaran cahaya, perubahan iklim serta aktiviti pelancongan entomo (serangga).

Oleh itu, sebagai langkah menangani ancaman tersebut adalah penting untuk memasukkan kelip-kelip dalam pelan tindakan pengurusan bagi meminimumkan kesan kehilangan dan kemerosotan habitat paya bakau.

“Usaha untuk mengurangkan pencemaran cahaya di habitat kelip-kelip boleh dilakukan dengan melaksanakan peraturan pencahayaan atau semudah mematikan lampu apabila tidak digunakan. 

“Kesan perubahan cuaca ke atas habitat kelip-kelip pula boleh ditangani dengan memperluaskan inisiatif alam sekitar dan mengawal selia serta memantau aktiviti pelancongan entomo yang boleh membantu mengurangkan kesan negatif ke atas populasi kelip-kelip,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Pengerusi Bersama Kumpulan Pakar Kelip-Kelip Dr Wan Faridah Akmal Jusoh berkata hanya satu peratus daripada sejumlah spesies yang diketahui di Asia Tenggara telah dinilai, tetapi apa yang membimbangkan kesemuanya berisiko mengalami kepupusan dalam tempoh terdekat.

“Ini sepatutnya menjadi satu amaran. Kita perlu meneruskan usaha penilaian terhadap spesies kelip-kelip yang masih tinggal bagi membolehkan kita merancang langkah pemuliharaan dengan lebih baik,” katanya yang juga Pensyarah Kanan di Monash University Malaysia.

Terdapat lebih 2,200 spesies kelip-kelip yang telah dikenal pasti di seluruh dunia, dengan rantau Asia Tenggara dan Indo-Pasifik sahaja mempunyai sekurang-kurangnya 400 spesies serangga yang menakjubkan itu. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan