AM > BERITA

KONSERT MYACASA PENGUBAT RINDU PEMINAT FOURTWNTY DI MALAYSIA

28/06/2024 10:05 AM

Oleh Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi

JAKARTA, 28 Jun (Bernama) -- Buat kali keempat, kumpulan muzik Indonesia Fourtwnty menjadikan Malaysia sebagai venue pilihan untuk konsert mereka yang dijadualkan berlangsung pada 9 Nov ini di Megastar Arena, Kuala Lumpur. 

Konsert dianjurkan Nusantaiment dengan kolaborasi penganjur Malaysia Omni Mediaworks Sdn Bhd itu dijangka dapat mengubat rindu para peminat muzik Fourtwnty yang sentiasa menghadiahkan pengalaman konsert eksklusif, unik dan istimewa kepada penonton.

Menariknya, kali ini Fourtwnty membawakan tema istimewa “MyAcasà” - gabungan frasa  “My” secara simbolik mewakili Malaysia dan “Acasà”, bahasa Romania yang bermaksud rumah -  sekali gus menggambarkan nilai kekeluargaan dan keharmonian antara Fourtwnty dan peminatnya di Malaysia.

Vokalis Fourtwnty Ari Lesmana yang menyifatkan konsert itu sebagai “pertemuan semula selepas lama berpisah”, turut berharap persembahan mereka kelak akan memberikan rasa “kekeluargaan” kepada peminat di Malaysia.

“Myacasà’ melambangkan keselesaan bersama, kehangatan keluarga dan perasaan pulang ke rumah. Kita akan menikmati konsert ini dalam suasana  kekeluargaan, dikelilingi oleh kawan-kawan, keluarga, dan orang-orang  tersayang,” katanya pada sidang media MYACASA: Fourtwnty Live in KL, di sini baru-baru ini.

Menjanjikan kelainan pada konsert itu, Ari turut berharap kumpulan tersebut akan terus diterima baik oleh peminat mereka di Malaysia.

Sementara itu, Pengasas Nusantaiment Syai Nick berkata penganjuran konsert tersebut juga atas dasar hubungan rapat yang terjalin di antara dua negara selama ini, selain yakin kumpulan berkenaan mampu menyampaikan persembahan yang ikhlas dan berkesan buat peminat. 

“Dengan tema ‘MyAcasà,’ Nusantaiment ingin menekankan bahawa Malaysia adalah ‘rumah kedua’ bagi Fourtwnty. (Tema) ini mempunyai makna yang besar buat kumpulan dan peminat mereka di Malaysia, kerana ia melambangkan  hubungan istimewa yang mereka miliki. 

“Bagaimanapun, Indonesia, Singapura, dan Brunei tidak terkecuali, dan ini sebagai bukti keupayaan kami menyatukan komuniti yang pelbagai melalui muzik Fourtwnty,” katanya, menambah buat pertama kali di Kuala Lumpur, kumpulan itu akan berkongsi pentas dengan  Charita Utami mempersembahkan lagu Mangu. 

Selain itu, penyanyi Malaysia Zee Avi yang terkenal dengan lagu  ‘Kantoi,’ juga akan turut serta dalam konsert tersebut. 

Tiket yang berharga  RM148 hingga RM298  mula dijual hari ini menerusi platform rasmi www.ticketempire.com.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan