AM > BERITA

NORANIZA IDRIS KEMBALI KE PENTAS DENGAN KONSERT QALAM

28/06/2024 05:20 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Sebagai usaha mengangkat semula irama tradisional yang kian terpinggir, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris bakal tampil dalam konsert 'Qalam Noraniza Idris' di Panggung Bangsawan, Melaka, pada 27 hingga 29 September depan.

Konsert yang diadakan sempena sambutan Irama Malaysia Tiga Dekad (IM3D) itu akan membawakan konsep 'konsert dalam pertandingan' dengan membabitkan kira-kira 400 peserta pertandingan tarian tradisional di peringkat kebangsaan bagi mengiringinya membuat persembahan.

Pelantun lagu Dikir Puteri itu berkata, ini adalah sebahagian daripada usahanya untuk menghidupkan kembali industri irama Malaysia selepas dilihat semakin sepi terutamanya selepas pemergian komposer Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

"Dulu kita ada Pak Ngah tetapi sekarang dia dah tiada. Siapa nak bangunkan, takkan kita nak menyerah begitu sahaja?

“Saya rasa, saya kena buat sesuatu. Irama Malaysia ini perlu ada penggerak yang (kena) berani (untuk) ke depan,” katanya kepada Bernama selepas sidang media Konsert Qalam Noraniza Idris, baru-baru ini.

Menurut Noraniza, konsert anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kesenian, Kebudayaan Negara (JKKN) Melaka itu diadakan bagi menebus kekecewaannya apabila konsert solonya, Malai Solo terpaksa dibatalkan dua tahun lepas.

"Konsert ini akan menghimpunkan penari pelbagai usia dari seluruh negara yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu tujuh hingga 12 tahun (sekolah rendah), 13 hingga 17 tahun (sekolah menengah) dan 17 tahun ke atas (terbuka). 

“Terdapat lapan segmen etnik pilihan daripada 12 segmen keseluruhan akan dipertandingkan berdurasi enam minit yang menggabungkan dua elemen iaitu Melayu sebagai keutamaan dan etnik pilihan menjadi sebuah ‘lagu rangkaian’. Sepanjang konsert tiga hari ini, saya akan menjadi penyanyi utama dan mereka (penari) akan mengiringi persembahan saya,"  katanya.

Ditanya mengenai persediaan menjelang konsert tersebut, Noraniza yang juga mengusahakan perniagaan produk muruku itu berkata, beliau kini sedang mengamalkan rutin diet serta senaman supaya tampil lebih sihat, selain mengikuti kelas vokal.

“Saya perlu turunkan berat badan sekurang-kurangnya 10 kilogram. Sekarang saya mempunyai juralatih yang memantau aspek pemakanan saya.

“Apa yang merisaukan saya ialah bila nanti berada di atas pentas. Saya sudah selesa kerja di sebalik tabir dan lama tidak beraksi (persembahan yang panjang). Macam ada satu rasa bimbang dan risau, memikirkan apa yang akan berlaku pada masa akan datang," katanya.

Tiket konsert Qalam Noraniza Idris boleh dibeli pada harga serendah RM99 (Sawo Matang), RM149 (Ala Dondang), RM199 (Masyhur), RM249 (Seri Balas) di laman www.ilassotickets.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan