AM > BERITA

PRK DUN NENGGIRI DITETAPKAN 17 OGOS - SPR

28/06/2024 01:13 PM

PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 3 Ogos dan 13 Ogos.

"Daftar pemilih pilihan raya bagi PRK DUN Nenggiri mengandungi seramai 20,259 pemilih. PRK DUN Nenggiri memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK DUN Nenggiri di Menara SPR di sini, hari ini.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun.

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.

Ramlan berkata bagi menjalankan proses PRK Nenggiri, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus, manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding.

Beliau berkata Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang dengan 431 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK tersebut.

"Sebanyak 20 pusat mengundi biasa yang mengandungi 46 tempat mengundi atau saluran dan sebuah pusat mengundi awal yang mengandungi satu tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Menurut Ramlan, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 3 Ogos sehingga 11.59 malam 16 Ogos, manakala urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK tersebut dibuka mulai hari ini secara dalam talian.

Tarikh tutup permohonan pula ialah pada 30 Julai bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/ pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media) dan masing-masing pada 23 Julai bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan bagi kategori 1C (agensi/organisasi).

Ramlan berkata para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Semakan maklumat pengundian akan dibuka pada 29 Julai ini.

Beliau berkata bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK DUN Nenggiri agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Kelantan sebelum hari penamaan calon. 

Selain itu, beliau berkata bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Walau bagaimanapun, katanya kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon, penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC yang telah ditetapkan oleh SPR.

Ramlan berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya untuk melihat perjalanan proses PRK DUN Nenggiri bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan. 

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantìkan yang telah ditetapkan," katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperolehi daripada portal SPR www.spr.gov.my bermula hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 18 Julai ini.

Ramlan berkata SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi ‘live streaming’ bagi pusat atau saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR.

Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing, beliau berkata SPR akan melaksanakan kempen "Jom Kita Undi" melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik tumpuan awam dan tempat lain yang bersesuaian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan