AM > BERITA

LAPORAN JNAS: KDN GARIS TIGA PERKARA UNTUK LONJAK KE TAHAP 1

25/06/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama)  -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk terus melonjakkan kedudukan negara dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang ke Tahap 1 (Tier 1), termasuk menambah baik sektor perundangan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia antara tiga perkara digariskan ke arah itu, selain pihaknya akan turut melihat kepada pembinaan keupayaan dan kerjasama antara agensi.

Menyambut baik peningkatan positif Malaysia yang berjaya disenaraikan ke Tahap 2 (Tier 2), selepas hanya menduduki senarai pemerhatian (watchlist) tahun lepas, beliau berkata laporan itu bagaimanapun turut menyatakan beberapa perkara yang masih belum dipatuhi sepenuhnya.

"Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-40 Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Presiden Respa Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin.

Kedudukan terbaharu Malaysia di Tahap 2 (Tier 2) dalam laporan itu diumum di Washington, Amerika Syarikat semalam. 

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata usaha untuk mencapai kedudukan lebih baik iaitu Tier 1 mempunyai banyak faedah antaranya tidak perlu lagi bimbang dari sudut potensi kekangan eksport.

Terdahulu, Saifuddin mengumumkan pemberian bantuan sejumlah RM60,000 bagi menggerakkan program menyantuni ahli-ahli persatuan Respa.

“Kita mengutamakan kebajikan kesemua ahli sebagai tanda menghargai usaha baik Respa. Apa yang memberi kesan besar adalah ziarah anggota sakit mencakupi semua kaum,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan