AM > BERITA

BRIEF-I: PERUNTUKAN RM50 JUTA BAKAL DIMANFAATKAN SEPENUHNYA MENJELANG OGOS

28/06/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Peruntukan RM50 juta menerusi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) yang menjalankan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dijangka dimanfaatkan sepenuhnya menjelang Ogos hingga September.

Timbalan Menteri Pembangunan dan Usahawan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata sasaran itu dibuat memandangkan 10 peratus daripada dana itu telah disampaikan kepada penerima manfaat sejak ia dilancarkan pada 5 Jun.

"Sejujurnya sasaran saya, mungkin pada Ogos atau September kita akan dapat benar-benar menghabiskan RM50 juta ini kerana dalam tempoh 15 hari, kita sudah mencapai jumlah 10 peratus," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek cura program pembiayaan BRIEF-i di Menara Berkembar Bank Rakyat, hari ini. 

Ramanan berkata kementerian dengan kerjasama Bank Rakyat telah meluluskan 43 permohonan program pembiayaan bernilai RM3.8 juta manakala sebanyak 135 permohonan sedang diproses melibatkan pembiayaan RM5.7 juta.

“Kerjasama antara kerajaan dengan institusi kewangan seperti Bank Rakyat adalah amat signifikan dalam membantu para usahawan India mencapai matlamat perniagaan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai sesetengah pihak yang mempertikai ketiadaan sijil halal akan merumitkan proses permohonan BRIEF-i, Ramanan berkata usahawan India yang berkecimpung dalam bidang makanan dan minuman yang tiada sijil itu akan dirujuk ke Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

“Kalau tidak ada (sijil halal) sila mohon dan selepas perbincangan dibuat bersama Pengerusi Bank Rakyat, permohonan itu akan dihantar kepada Tekun untuk diberikan peluang mendapatkan pembiayaan. Dokumentasi anda mestilah betul dan anda memerlukan ada kriteria asas.

“Usahawan makanan dan minuman yang ada bebanan dalam mendapatkan sijil halal atau tidak patuh syariah, akan dirujuk ke Tekun,” katanya.

Pada 5 Jun, BRIEF-i dilancarkan dan direka khusus untuk usahawan komuniti India yang menjalankan PMKS bagi penyediaan modal kerja dan perbelanjaan modal untuk membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan yang merangkumi pelbagai sektor.

Sementara itu, pemilik Kilang Kari Kasturi Entreprise J.Jayanderan, 47, berkata permohonan pembiayaan tersebut sangat mudah kerana dalam tempoh dua hari sudah dapat diluluskan.

“Sangat mudah untuk memohon. Saya bawa dokumen ke cawangan Bank Rakyat di Kota Bharu, Kelantan termasuk sijil halal. Saya dapat pembiayaan RM600,000 dan dana ini dapat meluaskan perniagaan saya,” katanya.

Selain itu, pemilik pemborong tekstil K.Valliamma, 49, yang menerima pembiayaan perniagaan bernilai RM220,000 akan membuat kelas bimbingan serta menambah cawangan perniagaannya.

“Saya memohon dalam tiga hari sahaja dan pihak bank datang untuk melawat, ambil gambar dan semuanya siap,” katanya yang menjalankan perniagaan di Kompleks Mutiara, di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan