AM > BERITA

KOPERASI DIGESA MANFAAT BANTUAN, KEMUDAHAN PEMBIAYAAN DISEDIA SKM

29/06/2024 04:32 PM

NIBONG TEBAL, 29 Jun (Bernama) -- Koperasi yang terlibat dalam aktiviti perniagaan digesa memanfaatkan bantuan dan kemudahan pembiayaan disediakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi pembangunan ekonomi gerakan koperasi masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata bantuan di bawah SKM berjumlah RM100,000 hingga RM300,000 layak diberikan kepada koperasi yang masing-masing dikategorikan sebagai startup, scaleup dan advance.

Startup merujuk kepada koperasi yang telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan manakala scaleup (setahun) dan advance (tiga tahun).

“Skop bantuan ini adalah untuk menaik taraf premis perniagaan, pembelian infrastruktur seperti peralatan, mesin dan kelengkapan pembelian jentera serta penyediaan kawasan seperti sistem perparitan bagi kawasan ladang dan sebagainya,” katanya berucap pada Program Sembang Santai Koperasi anjuran SKM di Dewan Masyarakat Perda Padang Lalang, Simpang Ampat hari ini.

Sementara itu Ramanan berkata bagi membantu koperasi melaksanakan projek-projek berdaya maju, SKM turut menyediakan kemudahan pembiayaan kepada koperasi sama ada berkluster mikro atau koperasi berkluster besar.

“Setakat ini, terdapat lapan produk pembiayaan dengan kadar faedah serendah satu peratus tersedia untuk dimanfaatkan lebih 15,000 koperasi di Malaysia.

“Contohnya bagi koperasi yang memerlukan modal pusingan perniagaan tetapi tidak mempunyai sebarang pegangan aset alih, koperasi boleh memohon di bawah produk pembiayaan khas tanpa cagaran dengan had maksimum pembiayaan sehingga RM200,000,” katanya.

Beliau berkata semua bantuan dan kemudahan pembiayaan ini layak dimohon selagi mengikut terma-terma SKM kerana ia tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya tanpa penelitian yang terperinci.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan