AM > BERITA

DAFTAR SEGERA SKDS 2.0, ELAK TERLEPAS TUNTUTAN PEMBELIAN DIESEL - FUZIAH

28/06/2024 06:16 PM

KULIM, 28 Jun (Bernama) -- Pemilik kira-kira 175,000 kenderaan barangan yang belum mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 digesa segera berbuat demikian. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata sekiranya pendaftaran dilakukan selepas 30 Jun ini, mereka tidak layak membuat tuntutan pembelian diesel yang dilakukan bagi tempoh 10 Jun lepas hingga akhir bulan ini.

“Ketika ini kenderaan yang layak ada lebih kurang 410,000 kenderaan tapi yang berdaftar di bawah SKDS baru 234,000 kenderaan, jadi maksudnya lebih kurang 175,000 kenderaan masih belum berdaftar untuk mendapatkan Fleet Card Diesel,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0 dan Karnival Kepenggunaan Negeri Kedah di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Beliau berkata pendaftaran SKDS 2.0 masih diteruskan selepas 30 Jun ini dan bagi membantu pemilik kenderaan yang layak mendaftarkan kenderaan masing-masing, kementeriannya telah menganjurkan program Hari Terbuka SKDS 2.0 agar mereka tidak terlepas daripada mendapat manfaat itu.

Ditanya berhubung dakwaan peningkatan harga bahan binaan susulan penyasaran subsidi diesel, Fuziah mengingatkan syarikat dalam sektor berkenaan agar berhati-hati menaikkan harga dan tidak mengambil kesempatan.

Beliau berkata sekiranya syarikat terbabit menggunakan kenderaan barangan yang layak mendapat Fleet Card Diesel, mereka tidak sepatutnya menaikan harga kerana mereka memperoleh subsidi.

“Jadi maksudnya bukan semua barang-barang pembinaan ini termasuk dalam kategori yang boleh naik harga, sebab itu saya kata jangan ambil kesempatan,” katanya sambil menegaskan KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap kenaikan harga yang tidak wajar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan