AM > BERITA

PENURUNAN KADAR SURCAJ ICPT KEPADA SYARIKAT BESAR DIJANGKA DAPAT TURUNKAN HARGA BARANGAN

29/06/2024 10:04 PM

BUTTERWORTH, 29 Jun (Bernama) -- Penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) kepada pengguna komersial dan industri dijangka dapat menurunkan harga barangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pihak kerajaan bersetuju untuk menurunkan kadar surcaj ICPT kepada syarikat besar dengan maksud mereka dapat membantu dalam usaha mengurangkan harga barangan.

“Kita akan pantau adakah penurunan kadar elektrik ini akan membawa kesan penurunan harga barang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan melaksanakan subsidi elektrik secara bersasar dengan syarat utama ia tidak akan menjejaskan kepentingan majoriti rakyat Malaysia.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini mengumumkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung mulai 1 Julai  hingga 31 Dis ini.

Kenyataan itu memaklumkan punurunan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala pengguna komersial dan industri juga akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak 1 sen/kWj, bagi tempoh sama.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di The Light Hotel, di sini.

Anwar berkata mesyuarat yang berlangsung lebih kurang dua jam bermula pukul 5.50 petang itu, membincangkan isu-isu melibatkan orang Melayu dan bumiputera di Pulau Pinang, serta program yang boleh dianjurkan bagi membantu mereka.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri Rashidi Zinol.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan