AM > BERITA

KAMAL HAASAN PROMOSI FILEM 'INDIAN 2' DI MALAYSIA

29/06/2024 12:44 AM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Pelakon terkenal India Kamal Haasan melahirkan rasa terima kasih kepada peminatnya di Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya selama ini.

Kamal, 70, yang berada di ibu negara untuk mempromosikan filem ‘Indian 2’, sekuel filem blockbusternya pada 1996 ‘Indian’  berkata keghairahan peminat memberikannya motivasi untuk berkembang maju dan berjaya.

“Sokongan tidak berbelah bahagi anda menjadi penyebab saya berdiri di hadapan anda hari ini, setiap kali tayangan filem saya, saya berusaha untuk datang dan bertemu anda semua,” katanya ketika promosi filem berkenaan di NU Sentral di sini malam ini.

Menyentuh mengenai filem yang dikeluarkan dalam bahasa Tamil, Telugu dan Hindi itu, beliau berkata  ‘Indian 2’ adalah hasil kerja keras dan dedikasi ramai individu berbakat.

Pemenang tiga kali anugerah filem kebangsaan India itu juga melahirkan rasa terima kasih kepada pengarah filem Shankar serta penerbit Lyca Productions dan pengedar Red Giant Movies atas sumbangan tidak ternilai mereka kepada projek berkenaan.

Aktor itu turut mendedahkan sebab utama beliau bersetuju membintangi filem ‘Indian 2’ adalah kerana rancangan penerbitan sekuel filem itu iaitu ‘Indian 3’.

“Kami merancang untuk melancarkannya (Indian 3) sejurus selepas keluaran ‘Indian 2’ ini," katanya.

Filem ‘Indian’ yang dikeluarkan pada 1996 menampilkan Kamal sebagai pejuang kemerdekaan memberontak menentang rasuah di India sekali gus mewujudkan konflik dengan anaknya yang terlibat dalam amalan rasuah.

Filem itu menjadi filem Tamil yang menerima kutipan tertinggi selepas ditayangkan serta merupakan  penyertaan India untuk Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi pada 1996 walaupun ia tidak menerima pencalonan.

Mengenai kerjaya politiknya, Kamal berkata beliau pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan industri perfileman.

“Apabila memasuki bidang politik, saya mempertimbangkan untuk meninggalkan kerjaya seni untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi menyedari sokongan berterusan anda semua, saya memutuskan untuk meneruskan kedua-duanya, sekali gus mendorong saya kembali berlakon,” katanya.

Pelakon itu memasuki arena politik pada 2018 dengan mengasaskan parti Makkal Needhi Maiam.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan