AM > BERITA

LEBIH 17 JUTA POKOK DITANAM, SABAH SAHUT KEMPEN PENGHIJAUAN MALAYSIA

29/06/2024 01:32 PM

SANDAKAN, 29 Jun (Bernama) -- Lebih 17 juta pokok pelbagai spesis telah ditanam di seluruh Sabah setakat ini menerusi Kempen Penghijauan Malaysia yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak pelancaran kempen itu pada 2021.

Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan berkata sebagai menyahut kempen itu, Jabatan Perhutanan Sabah menyasarkan 40 juta pokok ditanam di negeri itu, dengan lapan juta pokok disasarkan ditanam dalam setahun.

Beliau berkata di Sabah sebanyak 5.25 juta pokok ditanam pada 2021, diikuti 5.53 juta pokok (2022) dan 5.13 juta pokok (2023) manakala setakat 24 Jun tahun ini sebanyak 1.2 juta pokok telah ditanam.

"Kita mencapai 60 peratus penanaman pokok daripada sasaran dalam setahun. Ketika ini Sabah menjadi negeri kedua tertinggi menanam pokok dengan Sarawak teratas. Difahamkan juga kempen ini mendapat sambutan dengan lebih 80 juta pokok telah ditanam di seluruh negara.

"Kempen penanaman ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai pihak termasuk sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan, sekolah dan orang awam," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, antara spesis pokok ditanam ialah Dipterocarp, Merbau, Belian, Seraya, Gaharu, Selangan Batu, Gagil, Jelutong, Eucalyptus, Ketapang, Bayur, Pulai, Medang, Ramin, Laran, Durian, Terap dan Bambangan.

Frederick berkata sambutan positif terhadap kempen ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai komitmen untuk memastikan litupan hutan sentiasa berada sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan hutan.

"Meskipun litupan hutan Sabah melebihi 50 peratus tetapi usaha penanaman pokok itu akan diteruskan dari  semasa ke semasa kerana kesan positif kepada ekosistem serta biodiversiti negara.

"Dalam hutan simpan sendiri juga (Sabah) kita punya kawasan hutan yang terosot akibat bencana, kebakaran dan penanaman semula pokok dapat mengembalikan semula fungsinya sebagai platform ekosistem alam semula jadi negeri ini. Jadi segala usaha penanaman pokok ini membantu mengurangkan kesan perubahan iklim," katanya.

Beliau berkata Jabatan Perhutanan Sabah menerima peruntukan RM4.6 juta sejak 2021 daripada kerajaan Persekutuan dan bantuan itu digunakan bagi tujuan kempen serta penanaman pokok bersama masyarakat setempat.

Di samping itu, Frederick berkata Jabatan Perhutanan Sabah giat melakukan kolaborasi serta mengaktifkan aktiviti menanam pokok bagi mencapai sasaran 40 juta pokok pada 2025.

"Kita juga akan melipatgandakan program kesedaran awam mengenai aktiviti penanaman pokok. Kita ada program bersama pihak sekolah serta agensi berkaitan dan  aktiviti menanam ini bukan setakat tanam secara suka-suka kerana selepas ditanam itu perlu dipastikan pokok itu kekal untuk manfaat bersama.

"Jabatan Perhutanan juga akan berkolaborasi dengan pihak lesen jangka panjang yang mempunyai kawasan di konsesi masing-masing,  untuk digunakan bagi menanam  pokok," katanya.

Selain itu, Frederick turut menggalakkan penduduk Sabah untuk menanam pokok dan merekodkan aktiviti itu melalui daftar masuk aplikasi mudah alih Penghijauan Malaysia atau laman web www.100jutapokok.gov.my yang dibangunkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Menurutnya, aplikasi mudah alih itu boleh dimuat naik melalui platform GooglePlay, AppStore dan AppGallery.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan