EKONOMI > BERITA

NEXUS MUKTAMADKAN RANGKA TINDAKAN MENYELURUH, HUBUNGKAN IPS DOMESTIK SECARA GLOBAL - BNM

01/07/2024 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bank for International Settlements (BIS) dan rakan pelaksananya termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) memuktamadkan rangka tindakan menyeluruh bagi fasa tiga Projek Nexus, membolehkan peserta yang telah bersedia untuk maju ke peringkat seterusnya iaitu menghubungkan sistem pembayaran segera (IPS) mereka dengan lancar.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata fasa empat akan menyaksikan bank pusat itu, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore, Bank of Thailand dan pengendali IPS domestik masing-masing -- yang telah bekerjasama dalam fasa tiga -- akan disertai oleh Reserve Bank of India untuk memperluas potensi liputan pengguna merangkumi pengguna Antara Muka Pembayaran Disatukan (UPI) di India iaitu IPS terbesar di dunia.

Bank Indonesia akan meneruskan penglibatannya dalam projek ini sebagai pemerhati khas. Ia mengambil bahagian dalam fasa tiga dan akan terus mengikuti perkembangan projek pada peringkat selanjutnya dalam kapasiti ini. 

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dalam kenyataan sama berkata rangka tindakan menyeluruh untuk memajukan Projek Nexus adalah hasil kerjasama erat bank-bank pusat Asean yang turut serta dan BIS untuk menghasilkan infrastruktur pembayaran rentas sempadan yang terkemuka di dunia.

"Dengan muktamadnya fasa tiga, kita semakin hampir untuk melaksanakan infrastruktur pembayaran rentas sempadan generasi seterusnya.

"Infrastruktur ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada negara-negara ini, malah akan membuka jalan untuk ketersambungan pembayaran global yang lebih meluas. Kami juga mengalu-alukan penyertaan India dalam fasa Projek Nexus yang seterusnya,” katanya. 

Pengurus Besar BIS, Agustin Carstens pula berkata, apabila Nexus dilaksanakan, ia akan meningkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan dengan ketara, sejajar dengan program pembayaran rentas sempadan G20 serta misi BIS untuk membangunkan perkhidmatan bagi manfaat orang ramai dalam ruang teknologi untuk menyokong bank-bank pusat dan menambah baik fungsi sistem kewangan.

“Meskipun hanya dengan negara-negara yang terhubung dalam gelombang pertama, Nexus telah berpotensi untuk menghubungkan pasaran yang merangkumi 1.7 bilion orang secara global, membolehkan mereka membuat bayaran pada masa nyata antara satu sama lain dengan mudah dan pada kos lebih murah,” katanya.

Nexus merupakan projek BIS Innovation Hub yang bertujuan mempertingkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan dengan menghubungkan berbilang IPS domestik dari serata dunia.

“Melalui langkah ini, pengendali IPS tidak lagi perlu membina sambungan khusus bagi setiap negara baharu yang ingin dihubungkan, sebaliknya cukup dengan pengendali membina satu sambungan ke rangkaian Nexus.

“Sambungan tunggal ini akan membolehkan IPS berhubung dengan semua negara lain yang menyertai rangkaian berkenaan,” kata BNM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan