AM > BERITA

SKM SASAR RM3 JUTA JUALAN PADA SAMBUTAN BKK DAN HKN 2024 DI PERLIS

01/07/2024 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan jualan sebanyak RM3 juta sepanjang tiga hari sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) dan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 di Perlis pada Jumaat ini.

Pengerusinya Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata sebanyak 100 gerai disediakan terdiri pelbagai jabatan, agensi dan koperasi pada program yang dijangka dirasmikan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kompleks Pengkalan Asam, Kangar.

Beliau berkata lebih 5,000  pengunjung dijangka menghadiri sambutan itu kerana buat julung kali  diadakan di sebelah utara. 

"Sambutan BKK ialah inisiatif bagi mempromosi perkhidmatan serta produk ditawarkan SKM dan gerakan koperasi di seluruh negara untuk membantu mengembangkan ekonomi koperasi dan usahawan.

"Mengambil kira Tahun Melawat Perlis, kita jadikan ia sebagai satu landasan untuk membolehkan mereka yang berada di utara tanah air terlibat dalam program kami dan akan diikuti oleh negeri lain di seluruh negara," katanya pada sesi "Meet and Greet: SKM X Media" sempena BKK dan HKN Tahun 2024 di sini hari ini.

Ahmad Norihan berkata jualan yang diperoleh pada sambutan BKK sentiasa menunjukkan peningkatan dan pada tahun lepas sebanyak RM14 juta hasil perolehan daripada kejayaan program yang dijalankan di seluruh negara. 

"Setiap tahun jualan semakin meningkat lebih-lebih lagi kita melaksanakan Jualan MADANI Koperasi yang menjadi penggalak kepada program anjuran SKM dan peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menarik kehadiran ramai pengunjung.

Beliau berkata tema 'Malaysia MADANI Teras Kecemerlangan Koperasi' yang digunakan tahun lepas dikekalkan pada penganjuran BKK dan HKN Tahun 2024 kerana masih relevan selari dengan aspirasi kerajaan MADANI selain koperasi adalah model terbaik untuk menggerakkan ekonomi dalam kalangan akar umbi.

Ahmad Norihan berkata pihaknya melantik pempengaruh Putra Amaris dan penyampai radio Tyzo Xander atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris bagi mempromosikan BKK sebagai pelengkap Pelan Komunikasi SKM.

Pemilihan kedua-dua individu berkenaan akan membolehkan maklumat dan prinsip yang hendak disebarluaskan diterima lebih ramai pihak terutama golongan muda dengan lebih berkesan.

Beliau berkata pihaknya turut merancang menambah bilangan koperasi sedia ada yang ketika ini berjumlah 15,809 buah supaya lebih ramai rakyat Malaysia memperoleh manfaat ditawarkan.

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan