AM > BERITA

LEBIH 400 PESERTA TAWAN GUNUNG RAYA DALAM KEJOHANAN BDB CLIMB LANGKAWI 2024

29/06/2024 05:50 PM

LANGKAWI, 29 Jun (Bernama) -- Lebih 400 peserta tempatan dan luar negara menyertai Kejohanan BDB Climb Langkawi 2024 yang diadakan di Gunung Raya, di sini hari ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) Raja Shahreen Raja Othman berkata ia merupakan inisiatif pihaknya untuk memperkenalkan semula kejohanan yang berkenaan selepas kali terakhir diadakan pada 2017.

"Sambutan memang menggalakkan walaupun setelah beberapa tahun ia dihentikan termasuk akibat pandemik COVID-19 dan BDB merasakan sudah tibanya masa untuk membawa kembali kegemilangan kejohanan sukan lasak ini di Langkawi.

"Pada kejohanan ini, peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu elit lelaki dan wanita, senior elit lelaki dan wanita, antarabangsa lelaki dan wanita serta fun climb. Kesemua peserta perlu menghabiskan cabaran sejauh lima kilometer (km) dengan menaiki 4,287 anak tangga untuk sampai ke puncak," katanya kepada pemberita.

Raja Shahreen berkata kejohanan itu juga adalah sebahagian daripada usaha Kumpulan BDB untuk memperkenalkan semula Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang termasuk Tangga Helang Seribu Kenangan yang terletak di Gunung Raya.

"Kita mahu memperkenalkan tempat ini sebagai satu daripada lokasi untuk acara sukan pelancongan, sekali gus menggalakkan industri pelancongan di Kedah. Jadi, kita berhasrat untuk menjadikan kejohanan ini sebagai satu acara utama dalam kalendar BDB," katanya.

Sementara itu, peserta dari Singapura, Mohammad Jamaludin, 51, berkata dia menyertai kejohanan itu bersama empat lagi rakannya, yang juga merupakan acara mendaki pertamanya di luar negara.

"Sangat mencabar laluannya, saya berhenti banyak kali kerana terlalu penat dan boleh dikatakan cabaran ini memerlukan mental yang kuat kerana beberapa kali saya hampir putus asa...tetapi apabila dapat habiskan memang gembira dan saya tidak letak sasaran masa, asalkan selamat sampai ke puncak.

"Mungkin tahun depan saya akan datang lagi untuk sertai kejohanan ini. Saya akan mengajak lebih ramai kawan di Singapura untuk merasai sendiri cabaran serta menikmati pemandangan alam sekitar yang cukup cantik," katanya.

Bagi peserta termuda kategori fun climb, Muhammad Zayn Pharrel Zarul El Farra, 7, dari Langkawi berkata ini kali pertama dia menyertai acara mendaki dan merupakan pengalaman bermakna buat dirinya yang berjaya menghabiskan cabaran itu bersama empat ahli keluarganya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan