AM > BERITA

HAMPIR 700,000 PENGUNJUNG DIREKODKAN SEMPENA TAHUN MELAWAT KELANTAN 2024

30/06/2024 12:34 PM

GUA MUSANG, 30 Jun (Bernama) -- Hampir 700,000 pengunjung direkodkan mengunjungi Kelantan bermula Januari tahun ini sehingga semalam, bersempena dengan Tahun Melawat Kelantan 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor berkata kemasukan pelancong luar kebanyakannya melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.

“Secara puratanya kita menyasarkan dua juta pelancong dalam setahun dan jumlah itu tidak hanya melibatkan pengunjung luar negara tetapi juga pelancong domestik.

“Paling ramai datang ke Kelantan melalui Rantau Panjang dan kita dapat mengesan jumlah pengunjung melalui pintu masuk bersempadan Thailand mengalami banyak peningkatan,” katanya kepada pemberita sempena Program Night Walk with Tengku Mahkota Kelantan peringkat jajahan Gua Musang 2024, di Dataran Kesedar malam tadi.

Kamarudin berkata pertambahan barangan bebas cukai di sempadan negeri juga menjadi penyumbang kepada peningkatan pelancong dari luar ke Kelantan.

“Berdasarkan lawatan serta tinjauan di kemudahan kedai bebas cukai di Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang, saya mendapati lebih banyak barang jualan bebas cukai berbanding tiga atau empat tahun lepas. 

“Saya dapat maklum balas yang positif daripada pengunjung dan mereka seronok membeli-belah di pasar bebas cukai,” katanya. 

Terdahulu, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat pada program berkenaan, selain turut memberi sumbangan kepada Tabung Palestin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan