EKONOMI > BERITA

JS-SEZ BERI MANFAAT KEPADA PELBAGAI SEKTOR, KESELURUHAN RANTAIAN BEKALAN - CEO UOB

02/07/2024 11:03 AM

SINGAPURA, 1 Julai (Bernama) -- Kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan memberi manfaat kepada perniagaan pelbagai sektor, mewujudkan peluang bagi keseluruhan rantaian bekalan selain meningkatkan hubungan ekonomi antara Singapura dan Malaysia.

Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Wee Ee Cheong dalam satu kenyataan selepas bertemu Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengadakan lawatan ke Plaza UOB di republik itu, hari ini.

Pada masa sama, Wee turut menekankan komitmen jangka panjang UOB kepada Malaysia selain berbincang dengan Onn Hafiz mengenai aspek pengukuhan hubungan dan kesalinghubungan Malaysia-Singapura menerusi pelaburan langsung asing.

“Malah, menerusi jaringan serantau UOB yang meluas, keupayaan platform dan kepakaran sektor diperkukuh, kita berada di landasan tepat bagi menyokong pertumbuhan perniagaan di Singapura, Malaysia serta serata rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia CEO Ng Wei Wei pula menyifatkan JS-SEZ sebagai berpotensi dalam memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan kehidupan kalangan penduduk di sekitar Tambak Johor.

Beliau berkata bersandarkan pengalaman beroperasi lebih 70 tahun di Malaysia, UOB Malaysia juga kekal teguh dalam menyokong perniagaan dan pengguna di negara ini.

“Menerusi usaha memanfaatkan kesalinghubungan serantau Kumpulan UOB yang kukuh, saya yakin kita dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan JS-SEZ.

“UOB Malaysia akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor dan pihak berkepentingan utama untuk memacu pelaburan dan perdagangan ke dalam negara ini," katanya.

Program lawatan Onn Hafiz itu adalah antara usaha UOB mengukuhkan inisiatif kerjasama di bawah rancangan JS-SEZ yang bertujuan meningkatkan kesalinghubungan ekonomi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia sepertimana diumumkan pada Januari lepas.

Beliau telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Azfar Mohamad Mustafar selain disertai delegasi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor serta pegawai kanan kerajaan dan agensi kerajaan negeri Johor.

Pada pertemuan itu, Onn Hafiz turut mengadakan mesyuarat bersama Wee dan pengurusan kanan lain bank berkenaan.

UOB juga menganjurkan sesi perbincangan meja bulat melibatkan delegasi Johor dan wakil syarikat dan pelbagai organisasi perniagaan termasuk Persekutuan Perniagaan Singapura, Persekutuan Pengilang Singapura, Dewan Perindustrian dan Perdagangan Singapura-Jerman, Persatuan Perusahaan China (Singapura), Dewan Perniagaan Korea di Singapura dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun.

Dalam sesi perbincangan meja bulat itu, delegasi Johor telah membentangkan strategi, sektor yang menjadi keutamaan dan pelan pelaksanaan bagi JS-SEZ.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan