AM > BERITA

TUDUHAN RASUAH KAIT TUNKU MAHKOTA ISMAIL: MCMC SEDIA BERI KERJASAMA

30/06/2024 04:15 PM

KULAI, 30 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedia memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan terhadap pemilik akaun media sosial yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah terhadap seorang pegawai kanan kerajaan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata MCMC mempunyai kepakaran teknikal dalam mengendalikan siasatan berkenaan kes-kes melibatkan platform media sosial.

"Kami sedia memberi bantuan kepada PDRM, tetapi setakat ini kami masih belum terima sebarang aduan atau permohonan untuk membantu siasatan. MCMC bergantung kepada laporan awam untuk kita ambil tindakan” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sumbangan Murid Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Pejabat Pendidikan Kulai di sini hari ini.

Terdahulu hari ini Ketua Polis Johor CP M Kumar mengesahkan telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran Facebook Kelab Penyokong PAS Malaysia yang mengaitkan Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata Johor melihat isu itu sebagai satu cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi diraja dan kerajaan negeri telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. 

Sementara itu dalam isu berbeza, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata agensi media rasmi kerajaan telah diarah memberi penjelasan berhubung isu pembelian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah memberikan penjelasan berhubung perkara ini. Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi telah minta RTM, Bernama dan juga Jabatan Penerangan untuk membuat laporan berdasarkan penjelasan rasmi diberi kerajaan.

"Ini bertujuan memastikan tiada salah faham berlaku dan lebih ramai masyarakat mendapat maklumat lengkap dan jelas berhubung isu pembelian saham itu," katanya.

Pada 21 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB sebagai 'wayang politik'.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan