AM > BERITA

ROBO DOG TARIK PERHATIAN PENGUNJUNG CILIK DI NTW 2024

30/06/2024 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kemunculan anjing robot dikenali sebagai Robo Dog buat julung kali di karnival Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini menarik perhatian pengunjung terutama kanak-kanak.

Eksekutif Jangkauan Penyampaian Pembelajaran Petrosains Mohd Faisal Mat Isa berkata Robo Dog dibawa ke pameran selama dua hari bermula semalam itu bagi memperkenalkan teknologi terkini khususnya dalam industri kejuruteraan kepada orang ramai.

"Pada masa kini kebanyakan tugas sudah menggunakan robot, jadi ini salah satu cara untuk kita mendedahkan terutamanya kepada anak-anak kecil dan golongan muda supaya mereka tidak asing serta bertambah minat dengan aktiviti dan program melibatkan sains dan teknologi ini.

"Robo Dog ini antara teknologi terkini di mana digunakan oleh sesetengah agensi sebagai alat bantuan untuk menjalankan kerja-kerja di tempat berisiko dan tidak dapat diakses oleh manusia.

"Sebagai contoh di pelantar minyak, mereka menggunakan Robo Dog untuk memasuki kawasan yang mengalami kebocoran gas atau yang berbahaya kepada pekerja untuk melakukan pemeriksaan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Robo Dog yang berkaki empat dengan ketinggian kira-kira 15 inci dikawal menggunakan alat kawalan jauh mampu bergerak seakan-akan anjing sebenar malah boleh berjalan, berlari, melompat, duduk atau berubah kepada posisi tidur.

Selain itu, Mohd Faisal berkata pihaknya turut menyediakan lawatan secara Realiti Maya (VR) bagi Petrosains sempena NTW.

"VR ini memberi gambaran kepada pengunjung tentang pelbagai program menarik yang ada di Petrosains dan mereka dapat merasai pengalaman melawat secara maya," katanya.

Beliau berkata orang ramai juga diberi peluang untuk mempelajari cara mengendalikan simulasi dron secara digital dan menyertai aktiviti permainan teka-teki yang menguji minda.

NTW 2024 dianjurkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia (KSM) berlangsung di seluruh negara sejak 24 Jun lepas, manakala penganjuran di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula semalam. 

Karnival NTW 2024 ini bertujuan menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat melalui peluang meningkatkan kemahiran dan pembelajaran secara percuma.

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan