SUKAN > BERITA

SAYA BERSEDIA SEKIRANYA BERPELUANG KE SUKAN OLIMPIK - MUHAMMAD AZEEM

02/07/2024 08:43 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 2 Julai (Bernama) -- Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi sudah bersedia untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, sekiranya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilihnya untuk memiliki tiket wild card ke temasya sukan empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun atlet berusia 20 tahun itu berkata beliau akan berlapang dada dan akur dengan keputusan yang akan dibuat badan induk negara berkenaan, jika tidak terpilih untuk membawa cabaran negara ke temasya sukan berprestij tersebut.

“Jika saya diberi masa sebulan ke Sukan Olimpik (ini), saya bersedia, kalau bukan Sukan Olimpik saya akan sertai Sukma (Sukan Malaysia)...semestinya saya akan berusaha sekerasnya, balik Malaysia berlatih dengan lebih kuat dan juga secara bijak.

“Kalau saya tak berpeluang semestinya saya akan akur, ia keputusan terbaik dari KOM dan Majlis Olimpik Malaysia, saya akan berlapang dada untuk terima,” katanya kepada pemberita selepas beraksi bagi acara pecut 100 meter (m) lelaki di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, hari ini.

KOM akan mengumumkan sama ada memilih Muhammad Azeem atau pelari 400 meter (m) wanita negara Shereen Samson Vallabouy, untuk mengisi tiket wild card ke Sukan Olimpik Paris 2024, esok. 

Pada aksi final pecut 100m lelaki yang berlangsung di Lapangan Atlatik Universitas Surabaya di sini, menyaksikan Muhammad Azeem sekadar meraih pingat perak dengan catatan masa 10.37 saat (s) di belakang pelari tuan rumah Lalu Muhammad Zohri (10.19s).

Pingat gangsa menjadi milik Jaelani Fatah Sidek dari Indonesia, dengan catatan masa 10.59s.

Mengulas mengenai larian hari ini Muhammad Azeem mengakui tidak berada di tahap terbaik, namun bersyukur mampu menamatkan larian dengan selamat. 

Beliau pada masa sama turut berkongsi mengalami beberapa kecederaan kecil sebelum ini, yang memaksanya untuk menjalani proses penyembuhan sejak Februari hingga April lepas.

“Saya bukannya nak bagi alasan, atas trek biasalah sebagai atlet ada akan ada kecederaan kecil, jurulatih sedia maklum dan kesatuan juga maklum, kalau tengok peningkatan di Amerika Syarikat juga agak kurang sebab kejohanan yang saya sertai tak banyak.

“Kami cuma mahu elakkan kecederaan yang lebih teruk, kini saya semakin baik, secara mental dan juga fizikal, 100 peratus lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan