AM > BERITA

PERMIT BAS PERSIARAN TERLIBAT KEMALANGAN DI GENTING TAMAT TEMPOH FEBRUARI LEPAS

01/07/2024 06:03 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan permit bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut di Genting Highlands, Bentong, Pahang sehingga mengorbankan dua pelancong China pada Sabtu lepas, didapati telah tamat tempoh pada 16 Feb tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata siasatan yang dijalankan turut mendapati bas persiaran berkenaan telah berusia 15 tahun, iaitu melebihi had usia dibenarkan iaitu hingga 12 tahun dan tambahan tiga tahun sekiranya ada rayuan.

“MOT memandang serius insiden kemalangan ini kerana jelas menunjukkan bahawa syarikat pengendali tidak mematuhi undang-undang, syarat dalam permit, membenarkan pemandu yang tidak ada lesen untuk memandu dan bas melebihi usia permit terbabit,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke berkata beliau telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat bas persiaran terlibat kerana ketidakpatuhan undang-undang yang amat jelas sehingga menjejaskan imej negara kerana melibatkan kematian pelancong asing.

Beliau berkata APAD telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat bas persiaran itu dan mereka diberi masa tiga hari untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.

Loke berkata JPJ bercadang untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang memperuntukkan seseorang pemegang lesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan pada lesen di bawah seksyen itu, telah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam insiden pada 11 pagi itu, dua lelaki warga China maut, manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di Kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata pemandu bas persiaran berumur 32 tahun itu didapati tidak mempunyai lesen memandu, selain memiliki 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Loke berkata siasatan akan dibuat daripada semua aspek termasuk dakwaan mengatakan bas terbabit menggunakan nombor kenderaan palsu. 

Ditanya mengenai mesyuarat khas yang membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam masa terdekat, Loke berkata ia antara lain akan membincangkan beberapa perincian termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan.

“SOP kita ketat cuma isu ketidakpatuhan. Ia perkara yang kita amat kesal sekali bahawa pengendali tidak patuh syarat, kita ada SOP bukannya tidak ada.

“Ada syarat jelas, kena buat pemeriksaan kenderaan, perbaharui permit, had usia kenderaan dan sebagainya tapi syarikat langgar semua, itu menjadi masalah kita (kerana) ada pengendali yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata JPJ akan mengadakan operasi bersepadu terhadap bas persiaran di seluruh negara bermula esok.

“Kita akan melaksanakan tindakan keras terhadap semua bas pelancongan bermula esok. Semua bas pelancong yang melalui kawasan sekatan jalan raya akan diadakan, akan diperiksa,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada semua pengendali bas persiaran untuk mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan. 

“Saya sudah sangat baik, saya memberi anda notis (pemberitahuan operasi). Kalau saya mahu 'nakal' sikit, saya tak beri notis. Bermula 6 pagi, akan ada op bersepadu, ia akan berlarutan selama beberapa minggu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan