EKONOMI > BERITA

CIMB SEMPURNAKAN PENETAPAN SASARAN PENYAHKARBONAN 2030 BAGI SEKTOR BERPELEPASAN KARBON TINGGI

03/07/2024 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd menjadi bank pertama di Malaysia yang menyempurnakan penetapan sasaran penyahkarbonan 2030 bagi sektor berpelepasan karbon tinggi.

Kumpulan perbankan itu mengumumkan sasaran bagi portfolio minyak dan gas dan hartanahnya hari ini di samping meneruskan komitmen Sifar Bersih 2050 yang lebih meluas merangkumi sasaran untuk sektor perlombongan arang batu haba, simen, minyak sawit dan tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Bhd Gurdip Singh Sidhu berkata untuk membantu sektor minyak dan gas menyahkarbon dan beralih kepada alternatif boleh baharu dan rendah karbon, kumpulan itu menyasar untuk memudahkan peralihan dengan mengurangkan Intensiti Pinjaman Pelepasan Dibiayai (FELI) daripada portfolio minyak dan gasnya sebanyak 16 peratus menjelang 2030 kepada 583 tan karbon dioksida bersamaan setiap juta ringgit pembiayaan (tCo2e/MYR mm) daripada 694 pada 2022.

"Sasaran ini merangkumi pelepasan Skop 1, 2 dan 3 yang berasal daripada penerokaan huluan tulen dan syarikat pengeluaran serta pemain minyak dan gas bersepadu.

"Sasaran penyahkarbonan ditetapkan berdasarkan Senario Pelepasan Sifar Bersih Agensi Tenaga Antarabangsa menjelang 2050 (IEA NZE), yang dipertingkatkan dengan cerapan daripada Senario Pembangunan Lestari Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA SDS), untuk merumuskan senario Sifar Bersih yang bersesuaian bagi konteks ASEAN," katanya pada taklimat media sempena mengumumkan sasaran penyahkarbonan itu, hari ini.

Pada asasnya, Skop 1 ialah pelepasan langsung yang dimiliki atau dikawal oleh sesebuah syarikat, manakala pelepasan tidak langsung Skop 2 dan 3 adalah akibat daripada aktiviti syarikat tetapi berlaku daripada sumber yang tidak dimiliki atau dikawal olehnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, mulai 1 Jan 2025, kumpulan itu juga akan menghentikan pembiayaan baharu khusus untuk lapangan minyak huluan baharu yang diluluskan untuk pembangunan pasca 2021.

.Ini sejajar dengan IEA NZE, yang menyatakan bahawa di peringkat global, projek minyak dan gas baharu tidak diperlukan lagi selain daripada apa yang telah dilaksanakan setakat 2021, memandangkan aset semasa sudah memenuhi penawaran dan permintaan. 

"Bagaimanapun, memandangkan peranan penting gas asli sebagai bahan api peralihan yang diperlukan oleh ASEAN, CIMB akan terus menyokong inisiatif gas asli," kata Gurdip.

Sementara itu, beliau berkata kumpulan itu telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan intensiti pelepasan operasi daripada portfolio hartanah komersial sebanyak 34 peratus pada 2030 kepada 77 intensiti pelepasan fizikal daripada 117 setakat 2022.

Sasaran interim itu, yang merangkumi pelepasan Skop 1 dan 2 pelanggan hartanahnya ditetapkan sejajar dengan peningkatan kecekapan tenaga berdasarkan Carbon Risk Real Estate Monitor (CRREM) namun, menggunakan kadar penyahkarbonan grid kuasa selaras dengan laluan IEA Announced Pledges Scenario (APS).

“Bagi mencapai sasaran ini, CIMB giat berusaha untuk membiayai pembangunan, pengubahsuaian dan penyelenggaraan bangunan yang lebih cekap tenaga termasuk peralihan tenaga dalam bangunan melalui pemasangan kelengkapan tenaga boleh baharu di tapak seperti solar fotovoltan atas bumbung dan penyimpanan tenaga.

"Pada masa yang sama, CIMB juga menyokong penyahkarbonan grid kuasa melalui sasaran sektor Sifar Bersih Jajaran Tenaga,” katanya.

Pada 2021, CIMB merupakan bank pertama dalam pasaran sedang pesat membangun di seluruh dunia yang mengumumkan komitmen untuk menamatkan penggunaan arang batu menjelang 2040, selaras dengan matlamat Perjanjian Paris.

Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan Luanne Sieh berkata kumpulan perbankan itu sedang giat melaksanakan langkah strategik dalam proses perniagaan dan risiko sedia ada, menjadi satu usaha komprehensif yang dijangka dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, memerlukan penyelarasan meluas di seluruh bank.

“Kerjasama adalah penting, dan kami bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk memacu perubahan yang memberi impak sepenuhnya dan penyahkarbonan ekonomi sebenar di samping melindungi peralihan yang adil.

“Sebaliknya, kami tidak boleh memandangkan ringan dengan memburukkan lagi keadaan bagi golongan rentan yang tidak berkemampuan tanpa sebarang mekanisme bantuan dari segi peralihan,” katanya.

Beliau juga berkata sasaran yang ditetapkan kumpulan itu perlu dikemas kini secara progresif untuk lima tahun akan datang, selaras dengan perubahan peraturan kerajaan, kesediaan pelanggan dan kemajuan teknologi.

Pada tahun lepas, kumpulan itu meningkatkan sasaran kewangan mampan kepada RM100 bilion pada 2024, peningkatan daripada sasaran RM30 bilion yang diumumkan pada 2021. 

Sehingga Disember 2023, CIMB merekodkan kewangan mampan dengan nilai berjumlah lebih RM80 bilion sekali gus berada di landasan untuk mencapai sasaran RM100 bilion, selain akan mengumumkan rancangan baharu dalam jangka masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan