AM > BERITA

UPSI BANGUNKAN PERPUSTAKAAN 'BEI BEBACA' DI KAMPUNG ORANG ASLI DI CAMERON HIGHLANDS

01/07/2024 06:55 PM

IPOH, 1 Julai (Bernama) --  Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membangunkan sebuah perpustakaan mini yang diberi nama "Bei Bebaca" di perkampungan Orang Asli Chenan Cherah di Cameron Highlands.

UPSI dalam kenyataan berkata PTB UPSI sebelum ini menerima permohonan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands bersempena dengan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT).

Menurut universiti itu, perpustakaan mini berkenaan siap dibangunkan dalam tempoh tiga bulan di kampung tersebut yang didiami seramai 86 penduduk Orang Asli yang hidup dalam keadaan yang kurang berkemampuan.

Pembangunan perpustakaan ini telah mendapat tajaan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Entrepreneurs’ Organization (EO) Malaysia. 

Seramai tujuh petugas PTB UPSI bertungkus lumus menyiapkan ruang dalam perpustakaan mini yang dilengkapi dengan rak, meja, kerusi serta hiasan dekorasi untuk memberi keselesaan kepada anak-anak penduduk orang asli. 

UPSI telah menyerahkan bahan bacaan ringan sebanyak 130 naskhah bernilai RM1,500.

Menurut Pegawai Lapangan Program BMT, Muhammad Fazlie Nordin pembangunan perpustakaan mini ini adalah satu inisiatif dalam memberi akses kepada pendidikan. 

"Malahan komuniti Orang Asli ini turut diberi kaedah bagaimana mereka dapat mengubah status sosioekonomi dan meningkatkan keupayaan sara hidup sekali gus membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan komuniti orang asli," katanya.

Majlis perasmian perpustakaan mini berkenaan telah berlangsung semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan