AM > BERITA

JPJ TERENGGANU KELUAR LEBIH 5,000 SAMAN OPS HRAA 2024

01/07/2024 08:58 PM

KUALA TERENGGANU, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 5,140 saman atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) yang berakhir semalam.

Pengarahnya Mohd Zamri Samion berkata lima kesalahan paling tinggi dikesan ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Beliau berkata selain itu polis turut mengesan beberapa kesalahan lain yang sering dilakukan dan dipandang remeh oleh ramai pengguna jalan raya, antaranya tidak memakai topi keledar, muatan berbahaya, tidak memakai tali pinggang keledar, gagal mematuhi lampu isyarat merah, memotong di sebelah kiri secara berbahaya dan membawa lebih muatan.

Mohd Zamri berkata 2,510 daripada 31,091 kenderaan yang diperiksa telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan berkaitan trafik sejak Ops HRAA di seluruh Terengganu dilancarkan pada 10 Jun lepas, selain 191 kenderaan termasuk motosikal, kereta, lori dan kenderaan persendirian lain disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

"Seramai 110 anggota penguatkuasa JPJ terlibat dalam Ops HRAA bagi mengurangkan nahas kematian jalan raya terutama di 17 kawasan kemalangan maut di sekitar jalan persekutuan di negeri ini," katanya pada sidang media Rangkuman Ops HRAA 2024 di JPJ Negeri Terengganu, hari ini.

"Di samping itu kita turut memberi fokus kepada masalah kebanjiran pendatang asing yang dilihat semakin berani membawa kenderaan tanpa lesen atau dokumen sah di Terengganu kebelakangan ini," katanya.          

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan