POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP PENENTU KESINAMBUNGAN KERAJAAN PERPADUAN - CHANG

03/07/2024 08:52 PM

NIBONG TEBAL, 3 Julai (Bernama) -- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sebagai sangat penting, kerana keputusannya boleh memberi kesan kepada kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata keputusan PRK itu, akan menentukan kesinambungan perkhidmatan Kerajaan Perpaduan bagi penduduk di Sungai Bakap.

“Jadi kalau orang kata PRK DUN Sungai Bakap ini, satu pilihan raya yang tidak membawa apa-apa perubahan terhadap kerajaan negeri atau kerajaan Pusat dan kononnya tidak penting, saya minta maaf tuan-tuan dan puan-puan, ini tidak betul.

“PRK ini sangat penting sebab ia boleh memberi kesan kepada kerajaan negeri atau Pusat kerana keputusannya akan memastikan kerajaan ini berada dalam landasan yang betul (dalam menjaga keperluan rakyat),” katanya berucap pada Ceramah Perpaduan di Taman Lima Kongsi, Sungai Jawi di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Chang berkata Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah sebuah kerajaan yang lebih jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat, berbanding beberapa kerajaan terdahulu.

Beliau berkata ini kerana, jika ada cabaran dihadapi kerajaan dalam membantu rakyat umpamanya berkaitan dengan kemampuan kewangan kerajaan, ia akan dikongsikan secara terbuka sebelum tampil dengan jalan penyelesaian.

Sementara itu, Mustapha berharap pengundi terutamanya anak muda akan membuat pilihan yang rasional terhadap calon yang akan mewakili mereka pada PRK itu.

Beliau berkata jika tidak, mereka diumpamakan akan menghantar seorang individu yang hanya pandai duduk dalam persidangan DUN dan tidak berkemampuan dalam membawa suara rakyat, terutama untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di kawasan masing-masing. 

“Selain itu, kita kena ambil maklum bahawa calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding PRK ini mewakili Perdana Menteri, jadi ini peluang untuk kita mengangkat (kedudukan) beliau.

“Di luar negara seperti Indonesia, saya lihat beliau (Anwar) amat disanjungi dan dihormati tetapi sayangnya di Malaysia, orang fitnah dan tuduh beliau macam-macam dalam ceramah dan sebagainya. Ini tidak baik untuk negara kita yang sedang membangun,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan