AM > BERITA

KUNJUNGAN SHEIKH AL-AZHAR BUKA RUANG PERKASA PENDIDIKAN TAHFIZ, AL-QURAN NEGARA - MOHD NA’IM

03/07/2024 04:36 PM

HULU SELANGOR, 3 Julai (Bernama) -- Kunjungan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ke Malaysia khususnya Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), akan membuka dimensi baharu kepada pemerkasaan serta perkembangan pendidikan tahfiz dan Al-Quran di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kunjungan Sheikh Al-Azhar juga diharap membuka peluang lebih luas kepada graduan Darul Quran JAKIM untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Ini membuka peluang yang lebih luas kepada para graduan Darul Quran JAKIM untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja di Maahad Qiraat Shoubra, Mesir tetapi juga dalam bidang-bidang lain di Universiti Al-Azhar,“ katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerja Sheikh Al-Azhar itu ke Darul Quran JAKIM) di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Beliau berucap dalam Bahasa Arab dan terjemahan teks ucapan dalam Bahasa Melayu diedarkan oleh pejabat menteri kepada media, di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengetua Darul Quran Mohd Ansarullah Mohd Hashim.

Menurut Mohd Na’im Malaysia sejak pascakemerdekaan terus komited memperkasakan pendidikan tahfiz dan al-Quran menerusi pelbagai institusi swasta dan kerajaan termasuk penubuhan Darul Quran sebagai institusi pengajian al-Quran dan Qiraat.

Beliau berkata sejak penubuhannya pada 1966, Darul Quran telah memainkan peranan besar dalam pendidikan tahfiz di negara ini. 

“Sehingga kini bilangan graduan Darul Quran mencapai lebih daripada 11,000 orang yang memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian ummah serta pada masa sama menggalakkan perkembangan pendidikan tahfiz dalam negara.

“Malah di peringkat pengajian tinggi juga telah diperkenalkan bidang tahfiz sebagai satu daripada bidang pengajian dan sebagai nilai tambah bagi bidang-bidang profesional yang ditawarkan,” katanya.

Mohd Na’im berkata pengintegrasian komponen pendidikan al-Quran dengan bidang lain mampu melahirkan generasi penghafaz al-Quran yang menguasai bidang ilmu lain seterusnya mewujudkan keseimbangan kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

Sheikh Al-Azhar kini dalam lawatan khas ke Malaysia selama empat hari sehingga Jumaat ini atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Petang ini, Sheikh Al-Azhar dijadualkan mengadakan pertemua bersama Anwar di Seri Perdana, Putrajaya dan seterusnya menyertai Majlis Ilmu MADANI: Distinguished Speaker Series.

Lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan