DUNIA > BERITA

MAYBANK MALAYSIA RANCANG GANDAKAN ASET DI VIETNAM MENJELANG 2027

05/07/2024 11:59 PM

HANOI, 5 Julai (Bernama-VNA) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) merancang untuk menggandakan asetnya di Vietnam kepada US$2 bilion menjelang 2027, menjadi bank asing terkemuka dalam pinjaman bersindiket untuk memanfaatkan ekonomi yang berkembang pesat, menurut media asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Vietnam, Michael Foong dipetik sebagai berkata dalam e-mel bahawa trajektori ekonomi Vietnam yang kukuh dan sektor kewangan yang berkembang pesat menawarkan peluang pertumbuhan yang signifikan, lapor Vietnam News Agency (VNA).

Oleh itu, Vietnam adalah pasaran utama yang mana pemberi pinjaman akan terus meningkatkan pelaburan dalam beberapa tahun akan datang.

Vietnam menarik minat pelabur asing, terutamanya apabila syarikat-syarikat mempelbagaikan rantaian bekalan.

Negara ini menduduki tempat teratas dalam peningkatan kilang di Asia Tenggara pada bulan Jun, dan ekonominya berkembang pada kadar yang lebih cepat daripada jangkaan iaitu 6.93 peratus pada suku kedua, menurut S&P Global.

Tabung  Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan Vietnam akan mendahului pertumbuhan serantau bersama India pada tahun 2025.

Maybank juga menyasarkan untuk mengukuhkan peranannya dalam pelaburan langsung asing di Vietnam dan akan menumpukan kepada pelanggan korporat tingkat pertengahan baharu dengan perolehan tahunan antara US$50-US$100 juta, kata Foong.

Menurutnya, unit pembrokeran dan perbankan pelaburan bank ini akan mengembangkan perniagaan margin dan juga dalam pengurusan kekayaan, serta menyasarkan untuk meningkatkan modalnya daripada 2.2 trilion VND (US$86 juta) pada masa ini.

Bank ini mempunyai pegangan 16.39 peratus saham dalam An Binh Bank dan sedang mengambil langkah untuk meningkatkan perkhidmatan dan penawaran produknya untuk pelanggan runcit serta perusahaan kecil dan sederhana, katanya.

-- BERNAMA-VNA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan