AM > BERITA

OP ZAPIN JOHOR DILANCARKAN

03/07/2024 04:39 PM

JOHOR BAHRU, 3 Jul (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Johor melancarkan Operasi Pematuhan Cukai yang dikenali sebagai ‘Op Zapin’ semalam sebagai satu tindakan proaktif dalam usaha menangani isu ketidakpatuhan cukai di negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL Johor Datuk Hisham Rusli berkata melalui Op Zapin semalam, 73 premis perniagaan di negeri ini telah diperiksa dengan penglibatan 251 pegawai.

Beliau berkata operasi terbabit dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan memfokuskan beberapa industri utama seperti hartanah dan pembinaan; kejuruteraan kapal; pembuatan dan jualan tekstil; sektor pendidikan; penyediaan perkhidmatan profesional; pembuatan dan pemprosesan; pengilangan; perubatan serta pertanian.

“Operasi seumpama ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan cukai yang tinggi dalam kalangan pembayar cukai. Mana-mana pihak yang yang menjalankan aktiviti perniagaan dinasihatkan untuk melaporkan pendapatan mengikut undang-undang percukaian yang ditetapkan.

“Pembayar cukai juga boleh tampil ke pejabat HASiL berdekatan dengan segera untuk mendapatkan khidmat nasihat atau terdapat keraguan terhadap pelaporan yang dibuat sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan ‘pelarian cukai’ terhadap individu atau syarikat yang dikenal pasti menerusi Sistem e-Pelarian Cukai di https://epelariancukai.hasil.gov.my/.

“Pelaksanaan operasi ini diharap dapat meningkatkan literasi cukai dan kadar pematuhan dalam kalangan masyarakat, seterusnya mengurangkan ketirisan cukai ke arah kelestarian kutipan negera,” katanya.

Menurut beliau, sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh dibuat menerusi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara); HASiL Live Chat; atau Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan