AM > BERITA

KEMENTERIAN BINCANG DENGAN KWSP PERTINGKAT MANFAAT PENGAMAL MEDIA DI HARI TUA - FAHMI

03/07/2024 06:22 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi sedang meneliti beberapa perkara termasuk mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meningkatkan manfaat yang boleh dinikmati pengamal media di hari tua.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu di peringkat permulaan susulan kejayaan menguruskan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat pengamal media.

"Perkara ini telah saya sampaikan kepada beberapa agensi di bawah Kementerian Komunikasi untuk kita teliti dan mencari mekanisme terbaik untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada jurukamera Malaysia Gazette Mohd Airulrezal Amirudin, 42, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu bagaimanapun akan mengambil sedikit masa.

Fahmi juga berkata sejak 1 Julai lepas, hampir 600 pengamal media yang berkhidmat sebagai pemberita sambilan dan mereka yang dilantik secara kontrak mula menerima manfaat daripada caruman PERKESO yang diumumkan Mei lepas.

Pada 27 Mei lepas, ketika Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA), beliau mengumumkan bahawa Kementerian Komunikasi akan menampung caruman PERKESO buat 565 pengamal media sambilan bagi tempoh setahun dan ia akan disalur melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan