AM > BERITA

PM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT SHEIKH AL-AZHAR DI SERI PERDANA

03/07/2024 11:02 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, yang dalam rangka lawatan khas empat hari ke Malaysia atas undangan pemimpin nombor satu negara itu.

Sheikh Al-Azhar tiba di Kompleks Seri Perdana di sini, yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri, pada 6.30 petang.

Turut menyertai sesi itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Semalam, pesawat khas yang membawa Sheikh Al-Azhar selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.42 malam.

Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2020/1442H itu turut dijadual menghadiri dan memberi ucapan pada Majlis Ilmu MADANI: “Distinguished Speaker Series” malam ini.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia dan Republik Arab Mesir. 

Lawatan itu juga membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan