AM > BERITA

PROJEK ROL, JALUR LEBAR DAN ECER ANTARA ISU SIGNIFIKAN DALAM LKAN 2/2024

04/07/2024 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan program, projek atau aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata pengauditan itu adalah mengenai aktiviti kementerian atau jabatan kerajaan Persekutuan serta badan-badan berkanun Persekutuan dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Beliau berkata terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi mahupun prosedur kerja.

"Kelemahan ini menyebabkan program atau aktiviti atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan," katanya menerusi kenyataan.

Wan Suraya berkata antara isu signifikan dibangkitkan dalam LKAN 2/2024 adalah membabitkan pengurusan projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL), pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar serta pengurusan projek dan program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Dalam lampiran yang disertakan, Jabatan Audit Negara (JAN) berpendapat projek RoL tidak akan berjaya disiapkan tahun ini kerana sehingga Julai 2023, sebanyak 12 projek masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan dan kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.

Antara lain, lampiran itu menyebut semua objektif RoL belum dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB iaitu bagi tujuan rekreasi, selain kelewatan penyiapan bagi tiga projek dan penamatan satu projek pembetungan yang menyebabkan peningkatan kos dianggarkan RM234.72 juta, malah kerja pengindahan sungai tidak dilaksanakan di sepanjang 2.2 kilometer Sungai Gombak.

Berhubung pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar pula, lampiran itu memaklumkan matlamat untuk memperluas liputan dan ketersambungan Internet berkelajuan tinggi (fiber) di kawasan luar bandar menerusi peruntukan kewangan kerajaan belum tercapai sepenuhnya.

"Sebanyak 28 daripada 87 jajaran jalur lebar (kawasan projek Broadband To General Population-BBGP) di Sabah dan Semenanjung bernilai RM53.60 juta tidak dilanggan dan tidak digunakan antaranya sejak dari tempoh penyiapan pada 2013 dan 2017. 

"Terdapat sebahagian infrastruktur jajaran berkenaan dalam keadaan terbiar, sambungan talian kabel terputus dan kerosakan peralatan. Sebanyak 337 daripada 597 sampel sekolah masih menggunakan teknologi jalur lebar (broadband) atau satelit dengan kelajuan yang terhad walaupun teknologi fiber telah disediakan di bawah projek Point of Presence (PoP) Fasa 1," menurut lampiran itu.

Mengenai pengurusan projek dan program di bawah ECER, lampiran itu memaklumkan sebanyak 37 daripada 43 plot perindustrian tidak diisi dengan pelabur bagi Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP 3) dan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.

"Selain itu, terdapat infrastruktur seperti Animal Production Unit (APU), stor dan rumah pekerja bernilai RM4.03 juta di tapak Projek Pembangunan Ladang Komersial Kambing di Ulu Tersat, Terengganu tidak digunakan sejak 2011," menurut lampiran tersebut.

Sementara itu, Wan Suraya berkata LKAN 2/2024 dibentangkan di Parlimen setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan merupakan pembentangan LKAN yang kedua tahun ini selepas 6 Mac lepas.

Menurutnya, selain laporan mengenai aktiviti kementerian atau jabatan kerajaan Persekutuan dan badan-badan berkanun Persekutuan itu, LKAN 2/2024 juga meliputi laporan berhubung pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata sebanyak 64 syor audit dikemukakan untuk dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan.

Katanya pengauditan yang dijalankan JAN secara dasarnya memberikan impak positif menerusi tindakan pembetulan dan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan sebaik sahaja teguran Audit diterima.

"Susulan audit terhadap LKAN 2020, 2021 dan 2022 melalui Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara, didapati kerajaan telah mendapat bayaran balik, antaranya tuntutan penalti, sewa tertunggak dan kutipan ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) yang dianggar berjumlah RM100 juta sehingga suku kedua 2024," katanya.

Wan Suraya berkata JAN akan melaksanakan Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ) mulai Julai 2025 dengan teknik, metodologi dan pendekatan pengauditan inklusif serta mampan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam pengauditan digital.

Beliau berkata antara inisiatif PPJ ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti penggunaan dron dan semakan secara pengauditan jarak jauh (remote auditing) dan menggunakan peralatan analisis data termaju dalam mengenal pasti risiko, kelemahan kawalan dalaman atau tanda bahaya (red flags) berhubung data atau maklumat yang diperolehi.

"Melalui PPJ juga, semua maklumat berkaitan pengauditan, sumber manusia dan LKAN akan diintegrasikan untuk menghasilkan output tepat dan pantas," katanya.

LKAN 2/2024 akan dimuat naik di laman sesawang JAN selepas pembentangan di Dewan Rakyat dan orang ramai boleh melayari laporan itu menerusi http://www.audit.gov.my mulai 10 pagi hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan