AM > BERITA

UNIQLO SUMBANG RM200,000 KEPADA FRIM UNTUK USAHA PEMULIHARAAN HUTAN TEMPATAN

04/07/2024 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Peruncit pakaian global UNIQLO telah mengukuhkan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan menderma RM200,000 kepada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menyokong program pemuliharaan hutannya.

Derma tersebut adalah sebahagian daripada hasil yang dikutip setiap kali pelanggan membeli beg membeli-belah kertas di kedai UNIQLO.

“Dengan kerjasama FRIM, sumbangan itu akan membiayai pelbagai inisiatif, termasuk inventori pokok dan pemetaan, aktiviti pemantauan dan penyelenggaraan dan Program Kesedaran UNIQLO,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Undang-undang, Kelestarian dan Perhubungan Awam Korporat UNIQLO Malaysia Evelyn Tan berkata mereka berasa bertanggungjawab untuk membantu memelihara dan melindungi kawasan hijau tempatan sebagai salah satu ahli komuniti.

"Kami berbesar hati untuk mengembangkan usaha pemuliharaan hutan kami dengan kerjasama FRIM, bertujuan untuk meningkatkan inisiatif pemuliharaan mereka dan meningkatkan kesedaran tentang keperluan kritikal untuk melindungi hutan kita," katanya dalam kenyataan itu.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM Dr Ismail Parlan dalam kenyataan yang sama berkata mereka berterima kasih atas sokongan UNIQLO terhadap usaha pemuliharaan dan komitmen dalam mempromosikan kesedaran mengenai alam sekitar.

"Kerjasama dengan syarikat seperti UNIQLO membolehkan kami terus memulihara dan memelihara pokok di tapak-tapak projek kami, di samping memudahkan aktiviti penglibatan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan," katanya.

Kenyataan itu menyatakan bahawa dana yang disumbangkan oleh UNIQLO antara lain akan digunakan untuk projek inventori dan pemetaan pokok oleh FRIM untuk menilai stok karbon dan komposisi spesies pokok-pokok dengan garis pusat lebih daripada 10 sentimeter melalui pemetaan dan pengukuran yang komprehensif.

Sejak 2020, UNIQLO telah memperkenalkan beg beli-belah kertas yang sumbernya dituai secara bertanggungjawab dan diperakui oleh Majlis Pengawasan Hutan (FSC), di mana caj RM0.30 dikenakan untuk beg kertas tersebut sejajar dengan langkah kemampanan peruncit untuk mengurangkan penggunaan bahan plastik sekali guna dalam operasinya.

Selain kerjasama dengan FRIM, UNIQLO telah menunjukkan komitmennya untuk memelihara kawasan hijau menerusi sumbangan sebelum ini, termasuk sumbangan kepada taman hutan tempatan Taman Tugu, di sini.

Kenyataan itu menambah bahawa UNIQLO akan terus meneroka penyelesaian dan perkongsian untuk terus menyokong pemuliharaan hutan dan inisiatif perlindungan alam sekitar di Malaysia dan di peringkat global, sebagai sebahagian daripada usahanya melestarikan alam sekitar.

Orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif kemampanan UNIQLO di www.uniqlo.com/my.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan