AM > BERITA

RERUAI MCMC SEDIA PELBAGAI AKTIVITI SEMPENA PMR ZON TIMUR

05/07/2024 10:24 PM

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan pelbagai aktiviti menarik di Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang berlangsung hingga Ahad ini.

Antaranya ialah permainan interaktif seperti kuiz dan teka silang kata yang diadakan di bawah program Klik Dengan Bijak iaitu inisiatif MCMC bagi membudayakan penggunaan Internet secara positif dan berhemah dalam kalangan rakyat.

Menyedari kuasa permainan dalam pendidikan, ia direka untuk mengajar pengguna tentang keselamatan siber meliputi pelbagai topik iaitu daripada mengenal pasti penipuan memancing data yang semakin berleluasa ketika ini dan mencipta kata laluan yang kuat hingga memahami tetapan privasi serta mengenali taktik kejuruteraan sosial.

Pegawai Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Mohamad Hafiz Ahmad, 33, yang memenangi jam tangan pintar Honor berkata permainan itu bersifat kreatif dalam memastikan penyebaran mesej keselamatan siber sampai kepada pengguna di era moden hari ini.

"Sememangnya isu keselamatan siber bukan main-main, jadi inisiatif MCMC menjadikan elemen-elemen topik berkenaan sebagai inti pati permainan amat berkesan dalam memberi pendedahan mengenai dunia siber terutama kepada kanak-kanak," katanya.

Seorang penjawat awam Jihan Ajla pula berkata usaha MCMC mewujudkan permainan sedemikian adalah seiring dengan ancaman digital yang terus berkembang dan merupakan pendekatan inovatif untuk mendidik orang ramai.

"Kuiz ada soalan yang susah, ada juga yang senang. Memang tiada penghujung kepada apa yang ada dalam dunia siber dan elemen-elemen yang mungkin berkait dengan cara jenayah siber," katanya yang memenangi pembesar suara mudah alih Sony.

Reruai Kementerian Komunikasi pada Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur turut menyediakan kaunter khas kepada orang awam untuk membuat aduan serta mendapatkan bantuan berkaitan keselamatan siber dan jenayah siber.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan