AM > BERITA

SEGIM PERLU KAWAL SELIA KAPITALISME DIGITAL INDUSTRI

05/07/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) kelak bukan sahaja berperanan sebagai pusat sehenti untuk menjaga keselamatan, kebajikan dan persaraan pekerja  gig tetapi diharap turut mengawal selia kapitalisme digital dalam industri itu. 

Penasihat Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Fairuz Jamaludin berkata tindakan itu perlu memandangkan ketika ini, tiada pihak yang mengawal selia perkara berkenaan sehingga menyebabkan ada penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing dibayar pada kadar rendah. 

"Kerajaan kena kawal persaingan harga dalam kalangan penyedia perkhidmatan kerana bila tidak dikawal ia menyebabkan harga tambang rendah dan akhirnya menyebabkan pemandu serta penunggang terhimpit. 

"Sebagai contoh baru-baru ini, bila ada pesaing baharu syarikat besar masuk dan turunkan harga, pesaing juga menurunkan harga mengikut operator baharu dan akhirnya pemandu serta penunggang terkesan," katanya.

Fairuz berkata demikian pada sidang media berkaitan penubuhan SEGIM yang turut dihadiri Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Selain itu, Fairuz juga berharap penguatkuasaan terhadap pematuhan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dapat dilaksanakan dengan lebih tegas.

"SKSPS di bawah Akta 789 Seksyen 11 mewajibkan antara lain pemandu e-hailing, penunggang p-hailing dan pemandu bas sekolah membuat caruman dan kerajaan sudah memberi diskaun 90 peratus (bermakna) daripada RM232.80 mereka hanya perlu membayar sekitar RM23 sahaja.

"Tetapi isunya, masih ramai lagi yang tidak mencarum selain ada yang tidak tahu mereka kena mencarum," katanya yang berharap aspek penguatkuasaan itu diberi keutamaan bagi melindungi pekerja gig.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata pihaknya akan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam industri berkenaan bagi mendapatkan maklum balas berkaitan supaya penubuhan SEGiM bersifat menyeluruh dan efektif. 

"Kita ada 19 kementerian dan agensi yang terlibat. Suruhanjaya ini kelak menjadi one stop center  (pusat sehenti) untuk penguatkuasaan, ada punca kuasa untuk kawal selia semua dalam industri yang ditakrifkan dalam ekonomi gig termasuk pengamal media sambilan (stringer) dan pemandu pelancong.

"Jaringannya nanti sangat luas kerana kita tidak tahu bagaimana bentuk ekonomi dan bentuk pekerjaan yang akan wujud pada masa akan datang dan kita hendak pastikan mereka yang terlibat mempunyai jaringan keselamatan dan kebajikan," katanya.  

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan SEGiM secara formal yang bakal diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan lagi. 

Suruhanjaya itu tidak hanya meliputi pekerja e-hailing dan p-hailing semata-mata tetapi meliputi pekerja separa masa serta separa profesional yang termasuk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan