AM > BERITA

PERUNTUKAN AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG PERLU DIRUNDING MELALUI WAKIL, BUKAN BERASINGAN - PM ANWAR

09/07/2024 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang perlu dirunding wakil yang dipilih, bukan secara berasingan oleh setiap Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau sendiri mempersoalkan mengapa proses berkenaan menjadi sebegitu rumit, sedangkan telah berulang kali dinyatakan bahawa kerajaan sedia memberi peruntukan, namun ia harus dilakukan mengikut amalan negara demokrasi.

“Pembangkang, mulai dari Ketua Pembangkang, wakil-wakil parti, harus tetapkan wakil, berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri II (Datuk Seri Fadillah Yusof) yang kita tugaskan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang mahu tahu mengenai peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang selepas beliau secara peribadi telah berunding dengan Fadillah, namun masih perlu menunggu kata putus Kabinet dan perdana menteri.

Anwar berkata proses berkenaan sama seperti dilakukan sebelum ini semasa Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri, dan pihak kerajaan kini, ketika itu berada di blok pembangkang.

“Kita lakukan seperti mana kita lakukan dahulu...daripada awal, maknanya...parameter dijelaskan dulu, sebenarnya tidak susah pun.

“Saya pun (pernah) jadi Ketua Pembangkang, masa tu kuat juga (blok pembangkang), jumlahnya lebih kuat, tapi masa itu tak ada rasa rendah diri, atau kompleks untuk jumpa perdana menteri di pejabat perdana menteri, bincang dan menugaskan masa itu lima dari pembangkang dan lima dari kerajaan,” katanya.

“Jadi rundinglah, saya tak faham kenapa proses ini jadi rumit, tetap tarikh, runding, dan syarat-syarat yang dikatakan, syarat-syarat dalam proses biasa, dalam mana-mana negara demokrasi...perjalanan, tentang dasar utama, dan kemudian kalau pun tak bersetuju patah balik,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menasihatkan supaya ia disegerakan bagi membolehkan satu keputusan dimuktamadkan antara kedua-dua pihak.

“Jadi saya menyeru Pendang (Datuk Awang Hashim) sampaikan kepada semua wakil-wakil parti, segerakan perbincangan supaya hal ini tidak lagi jadi isu yang memanaskan suhu di Dewan ini. Tak payah berlari, berjoging.. bincang sahaja-selesai,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung perkara sama.

Anwar juga menegaskan bahawa tiada syarat yang diletakkan dalam rundingan itu yang memerlukan Ahli Parlimen pembangkang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri bagi mendapat peruntukan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan