PEMBANTU TADBIR DIDENDA RM14,000 GUNA DOKUMEN PALSU TIPU BAYARAN TUNTUTAN TANAH

16/07/2024 04:34 PM

KOTA KINABALU, 16 Julai (Bernama) -- Seorang pembantu tadbir di Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Keningau didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana menggunakan dokumen palsu untuk menipu bagi mendapatkan bayaran tuntutan tanah dalam projek di Keningau, 10 tahun lepas.

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu setelah Justine Ongkomog @ Amran Mohd Osman, 54, mengaku bersalah atas lima pertuduhan alternatif yang dibacakan kepadanya. 

Justine dituduh menggunakan dokumen palsu Borang Penyata Tanaman dan Lain-Lain untuk menipu mendapatkan bayaran tuntutan kawasan tanah terlibat dalam jajaran pembinaan Projek Naiktaraf Jalan Sook–Tulid Sinua, Keningau (Fasa 2) di Pejabat Pemungut Hasil Tanah, Keningau pada 2 Jun 2014.

Dokumen itu dikemukakan kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah, Keningau. Pertuduhan alternatif pertama melibatkan permohonan bayaran untuk geran tanah bernombor 98132290, kedua (98132289), ketiga (98132295), keempat (98132292), dan kelima (20-03131220).

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Tertuduh telah membayar denda terbabit.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan