AM > BERITA

HARI PENEROKA FELDA: 317 SAJIAN TANAH RANCANGAN SELURUH NEGARA MENANTI PENGUNJUNG

09/07/2024 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Sebanyak 317 juadah makanan dari seluruh negara boleh dinikmati pengunjung sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat ini, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor.

Ketua Kluster 8 (Food Festival) sambutan Hari Peneroka Felda 2024 Hasrin Ismail berkata pengunjung dijanjikan pengalaman ‘pengembaraan gastronomi’ dengan juadah disediakan 255 peniaga Felda yang membawa keistimewaan kulinari dari negeri masing-masing.

Beliau berkata program tersebut akan diadakan di tiga lokasi iaitu di Laman Tiba, Dewan DG dan Boulevard bermula 10 pagi hingga lewat malam. 

"Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman menjamu makanan-makanan istimewa dari seluruh negara pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 ," katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini. 

Hasrin berkata program itu juga menyediakan peluang perniagaan kepada peneroka serta membuka peluang untuk mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Ini adalah satu daripada objektif acara ini, membuka ruang untuk potensi baharu contohnya dengan padanan perniagaan...mungkin ada rakan kongsi di luar sana yang berminat untuk bekerjasama dengan peniaga-peniaga Felda," katanya.

Beliau berkata Felda turut menyediakan cabutan bertuah kepada semua pengunjung dan peserta Food Festival yang menjanjikan pelbagai hadiah menarik dengan hadiah utama sebuah motosikal elektrik. 

Sambutan Hari Peneroka Felda yang julung kali diadakan tiga hari pada tahun ini, menyasarkan kehadiran 500,000 warga peneroka Felda, generasi baharu Felda serta orang ramai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan acara itu pada 14 Julai.

Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah Himpunan Dua Roda/Serlahkan Kehebatan X Felda yang dijangka mengumpul 50,000 peminat sukan bermotosikal dari seluruh negara sekali gus mencatatkan rekod dalam Malaysia Book Of Records.

Hari Peneroka jatuh pada 7 Julai setiap tahun dan ia ditetapkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang juga pengasas Felda.

Tarikh keramat itu adalah hari penghormatan buat peneroka Felda yang telah menyumbang kepada pembangunan negara hampir 70 tahun lamanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan