AM > BERITA

KEMUDAHAN KESIHATAN LEBIH BAIK DI SARAWAK TURUT BERI MANFAAT RAKYAT LAIN

10/07/2024 12:07 AM

KUCHING, 9 Julai (Bernama) -- Rancangan Sarawak untuk menambah baik kemudahan kesihatan bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu, tetapi juga dapat mengurangkan beban penduduk di Sabah serta negara jiran untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata fasiliti kesihatan di negeri itu akan ditambah baik dalam tempoh lima tahun akan datang, susulan rancangan untuk menambah kapasiti katil di hospital serta pelaburan daripada dua kumpulan asing.

Beliau berkata Pusat Perubatan Pakar Normah milik negeri itu akan mempunyai tambahan 300 katil, manakala syarikat berpangkalan di Singapura komited untuk membina sebuah lagi hospital swasta dengan kapasiti katil yang sama, terletak di kawasan Tabuan Jaya di sini.

"Satu lagi (hospital swasta) di kawasan Batu Lintang dengan kapasiti 300 katil. Dalam erti kata lain, bagi tempoh lima tahun ini, kita akan mempunyai tambahan lebih 1,000 katil yang akan dikendalikan oleh sektor swasta," katanya.

Berucap ketika merasmikan Persidangan Asia Pasifik mengenai Kesihatan Awam 2024 di sini malam ini, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan memulakan pembangunan pusat rawatan kanser kerajaan Persekutuan di Kota Samarahan di sini, dengan menggunakan dana negeri terlebih dahulu.

"Kerajaan negeri ingin menambah baik kemudahan bagi rakyat di sini dan jiran-jiran kita. Kalau Sarawak ada pusat kanser, penduduk dari Sabah pun boleh datang (untuk mendapatkan rawatan)," katanya.

Kira-kira 700 peserta dari rantau Asia-Pasifik menghadiri persidangan dwitahunan selama tiga hari itu yang bermula hari ini. Persidangan ke-8 itu bertujuan membangunkan tenaga kerja kesihatan yang berdaya tahan, memupuk inovasi dan menangani isu kesihatan awam yang kritikal.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan