AM > BERITA

NELAYAN DIKHUATIRI LEMAS KETIKA ELAK DITAHAN APMM

10/07/2024 12:42 PM

ALOR SETAR, 10 Julai (Bernama ) -- Seorang kru bot nelayan dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke laut semasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cuba menahan bot berkenaan di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata kejadian berlaku kira-kira 9.50 malam ketika pasukan Zon Maritim Kuala Perlis sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0.

"Pasukan itu cuba menghampiri bot nelayan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan dan disyaki melakukan aktiviti menangguk siput.

"Vesel berkenaan bertindak memecut laju ke arah perairan negeri Kedah setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa dan kru vesel berusia lingkungan 40-an disyaki terjun ke laut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pusat operasi Zon Maritim Kuala Kedah yang menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) berkenaan kejadian itu telah mengatur gerak operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata operasi turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan beberapa bot nelayan tempatan.

"Maritim Malaysia mengingatkan orang awam yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

“Orang awam diminta untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan