AM > BERITA

KAEDAH SULH SEMAKIN DITERIMA, BANTU SELESAI KONFLIK KEKELUARGAAN MENERUSI MEDIASI

10/07/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Hampir 90 peratus daripada 11,921 kes konflik kekeluargaan yang didaftarkan oleh Majlis Sulh pada tahun lalu berjaya diselesaikan menerusi penyelesaian bersama antaranya melibatkan kaedah runding cara, mediasi, sesi kaunseling perkahwinan dan timbang tara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata peningkatan (1.43 peratus) berbanding 2022 itu menunjukkan kaedah Sulh terbukti berkesan dalam menyelesaikan konflik kekeluargaan dan semakin diterima masyarakat.

Beliau berkata penyelesaian pertikaian melalui Sulh juga telah memberi impak amat positif kepada jumlah kes-kes tertunggak di mahkamah-mahkamah Syariah.

“Pihak-pihak yang bertikai juga akan mendapat keadilan dengan segera lantaran tempoh yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu kes lebih singkat berbeza dengan penyelesaian melalui perbicaraan penuh di hadapan Hakim.

“(Justeru) penyelesaian melalui perbicaraan di dewan-dewan mahkamah Syariah selayaknya menjadi pilihan terakhir, kerana dengan cara perbicaraan, aib pihak-pihak akan terdedah, lebih teruk lagi ia meluaskan jurang permusuhan dan kasih sayang sesama insan,” katanya.

Na’im berkata demikian dalam ucapan sempena Program Sulh Outreach, dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM Datuk Mohd Amran Mat Zain. 

Hadir sama Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Datuk Seri Azri Ahmad dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Majlis Sulh ialah sesi perundingan di antara dua pihak bertikai yang dipengerusikan oleh Pegawai Sulh dengan tujuan untuk mendapatkan persetujuan bersama dalam menyelesaikan suatu pertikaian secara damai tanpa perlu melalui proses perbicaraan di Mahkamah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan