AM > BERITA

PINDAAN ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM NEGERI SELANGOR DIBENTANG 2026 - EXCO AGAMA

10/07/2024 03:57 PM

SHAH ALAM, 10 Jun (Bernama) -- Pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 untuk memasukkan peruntukan individu atau agen mempromosi pernikahan di luar undang-undang Islam negeri itu dijangka dibentangkan pada 2026.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) sedang mengkaji pindaan enakmen itu dengan menambah peruntukan  berhubung perkara berkenaan dan mengesyorkan meningkatkan hukuman bagi kesalahan berkaitan termasuk bersubahat dalam usaha membanteras nikah sindiket.

“Pada tahun ini sahaja tujuh daripada 14 siri bengkel yang dirancang oleh pihak JAIS telah dibuat bersama pihak berkepentingan bersama termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor dengan nasihat pegawai syariah Pejabat Kamar Negeri, pegawai undang-undang JAIS bersama Sekretariat Bahagian Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS).

“Perancangan selanjutnya akan dibawa dalam perbincangan teknikal Jawatankuasa Undang-Undang MAIS sebelum pembentangan dalam mesyuarat MAIS dan terakhir akan dibentang untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2026,” katanya.

Mohammad Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan Jefri Mejan (PN-Ijok) berkaitan usaha mengekang nikah sindiket di luar negara yang dibuat tanpa kebenaran JAIS pada persidangan DUN Selangor di sini hari ini.  

Mohammad Fahmi berkata nikah sindiket adalah pernikahan yang berlaku di luar negara tetapi tidak didaftarkan bawah kedutaan dan menyebabkan tiadanya surat perakuan nikah yang diiktiraf.

Buat masa ini, beliau berkata tiada peruntukan khusus berkaitan nikah sindiket dalam enakmen.

Bagaimanapun peruntukan undang-undang dan penguatkuasaan di bawah Seksyen 124 Berpoligami Tanpa Kebenaran Mahkamah dan Seksyen 40 (2) Kesalahan berhubung Akad Nikah Perkahwinan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 diguna pakai untuk membendung kesalahan-kesalahan dalam aktiviti nikah sindiket ini. 

“Harus saya maklumkan juga hukuman yang boleh dikenakan antaranya ialah RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan