AM > BERITA

PERUNTUKAN KERAJAAN PERSEKUTUAN KEPADA TERENGGANU MENINGKAT RM7.23 BILION TAHUN INI - ANWAR

10/07/2024 04:09 PM

MARANG, 10 Julai (Bernama) -- Jumlah keseluruhan peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Terengganu pada tahun ini meningkat kepada RM7.23 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jumlah itu termasuk perbelanjaan pengurusan agensi Persekutuan dan projek pembangunan di negeri itu, melebihi jumlah peruntukan RM5.99 bilion yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu pada 2022, iaitu sebelum pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Katanya ini sekali gus menepis dakwaan bahawa peruntukan untuk Terengganu telah dikurangkan atau negeri tersebut diabaikan Kerajaan Persekutuan.

“Belum pernah berlaku, iaitu pimpinan Kerajaan Persekutuan (termasuk) Perdana Menteri, timbalan perdana menteri, menteri-menteri kanan, KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan semuanya duduk bersama dengan kerajaan negeri serta berbincang mengenai keutamaan di negeri-negeri.

“Ini kerana kadang-kadang keutamaan difikirkan di Putrajaya tidak sama dengan keutamaan di negeri maka kita ubah suai setelah mendengar (dari pihak) kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Janakuasa Solar Hibrid Cypark Merchang di sini, hari ini.

Bagaimanapun Anwar berkata keutamaan yang harus diberikan oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri adalah menghapuskan miskin tegar dalam kalangan rakyat.

Dalam hal tersebut, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera Kerajaan Terengganu yang telah memberikan kerjasama baik kepada Kerajaan Persekutuan sehingga matlamat untuk menoktahkan miskin tegar di negeri ini bakal dicapai pada hujung Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan