AM > BERITA

PELAN TINDAKAN AGENSI AGAMA PERKASA KOMUNITI OKU MUSLIM - MOHD NA'IM

10/07/2024 07:00 PM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Tindakan Agensi Agama bagi Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim 2024–2028 sebagai panduan dan rujukan kepada agensi yang terlibat dalam usaha memperkasakan komuniti OKU beragama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pelan yang kali pertama dibangunkan itu sejajar dengan Dasar OKU Negara, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta semangat Matlamat Pembangunan Mampan yang memastikan setiap orang tidak akan terpinggir dalam mendapatkan perkhidmatan yang telah disediakan oleh kerajaan.

"Kita mengharapkan dengan pelan tindakan ini, semua aktiviti dan program yang dibangunkan berdasarkan lima teras berkaitan kesejahteraan insan akan dapat dilaksanakan dengan baik, demi memastikan kita dapat mengangkat karamah insaniah (kemahiran yang berkaitan dengan pembangunan diri dan kemahiran interpersonal),” katanya kepada media selepas melancarkan pelan itu di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata pelan itu mula dibangunkan sejak 2020 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan ia juga mendukung Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya Kebangsaan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kerajaan katanya, hendak memastikan golongan OKU diberikan keistimewaan dan layanan antaranya dari sudut atau hak mereka untuk beribadah seperti penyediaan kemudahan di masjid bagi menggalakkan lebih ramai OKU ke rumah ibadat itu.

"Dari segi kemudahan di mahkamah pula, kita mahu berikan kemudahan supaya golongan OKU ini mendapat keadilan ketika memfailkan tuntutan mereka di Mahkamah Syariah," katanya.

Mohd Na'im berkata diharapkan majlis dan jabatan agama Islam di setiap negeri dapat menggunakan pelan tindakan berkenaan agar lebih ramai OKU mendapat manfaat daripada pelan lima tahun itu.

Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU Muslim 2024–2028 menggariskan lima teras, 12 strategi dan 39 program dan antara terasnya ialah memperkukuh dakwah OKU bagi kesejahteraan ummah, mengukuhkan institusi kekeluargaan Islam OKU ke arah pembentukan generasi harmoni dan meningkatkan sistem OKU ke arah pembentukan masyarakat prihatin.

Sementara itu, mengulas mengenai Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, beliau berkata segala perbincangan atau perdebatan mengenai rang undang-undang itu perlu berdasarkan fakta dan ilmu pengetahuan.

"Ada pihak yang menyokong dan ada juga membantah. Saya berharap sangat agar perbincangan yang diadakan itu mesti didasarkan kepada fakta bukan emosi," katanya.

Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai lepas, antaranya untuk memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan