AM > BERITA

IRAN BERHASRAT ADAKAN MOU DALAM BIDANG PERTANIAN - MOHAMAD SABU

11/07/2024 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan Iran berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Malaysia menerusi  Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian dan telah menghantar draf pertama kepada pihak kementerian.

Mohamad berkata beliau amat yakin dan percaya bahawa MoU itu akan menyediakan asas yang kukuh untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Iran dalam bidang berkenaan.

“Saya amat gembira menantikan kerjasama ini terhasil kerana manfaat yang cukup besar akan dapat diberikan kepada kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Mohamad berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi dan delegasinya di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, di sini hari ini.

Katanya, pada pertemuan berkenaan, beliau turut memaklumkan kepada Nasrabadi bahawa pihak kementerian melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) masih menunggu maklum balas positif daripada pihak Iran untuk kelulusan mengimport ayam Arian.

Beliau turut memohon kerjasama Nasrabadi untuk memudahkan urusan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Republik Islam Iran Dr Masoud Pezeshkian atas kemenanganya pada pilihan raya baru-baru ini.

"Saya percaya hubungan erat yang sedia ada antara kedua-dua negara akan diteruskan di bawah kerajaan baharu ini," katanya.

Selain itu, beliau turut menjemput Nasrabadi dan delegasinya untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang akan berlangsung di Serdang, Selangor pada 11 hingga 22 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan