AM > BERITA

APLIKASI I-CEMAS DIPERKENAL ELAK KESESAKAN PESAKIT DI HOSPITAL MELAKA

11/07/2024 12:38 PM

MELAKA, 11 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Melaka akan memperkenalkan aplikasi i-Cemas pada hujung Ogos atau awal September bagi mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhammad Akmal Saleh berkata menerusi aplikasi tersebut, individu yang memerlukan rawatan boleh mengetahui jumlah pesakit semasa yang sedang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

“Kalau kata nak datang sekarang, dia buka aplikasi itu dan tengok ada 100 pesakit yang masih menunggu, dia boleh masukkan simptom yang dihadapi dan kita boleh klasifikasi sama ada simptom ini ‘perlu disegerakan” atau tidak.

“Menerusi aplikasi itu juga kita ada ‘live chat box’ yang boleh berinteraksi secara terus dengan paramedik, jadi paramedik boleh bagi nasihat datang ke hospital atau ke klinik kesihatan lain,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Dr Muhamad Akmal mewakili Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem bagi menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai langkah penambahbaikan bagi menangani masalah kesesakan pesakit di Hospital Melaka.

Beliau berkata menerusi aplikasi tersebut juga, individu boleh mendapatkan lokasi klinik kesihatan yang dekat dengan kediaman pesakit.

“Contohnya di DUN Sungai Rambai, kita boleh nasihatkan mereka ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai sebelum ke Hospital Melaka dan ini dapat mengurangkan lagi kesesakan di Hospital Melaka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan